PCG, ExxonMobil bekerjasama dalam teknologi kitar semula plastik

PCG, ExxonMobil bekerjasama dalam teknologi kitar semula plastik maju

MOHD. Yusri Mohamed Yusof (dua, kanan) dan Dave Andrew (dua, kiri) menunjukkan dokumen kerjasama antara PCG dan ExxonMobil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) dan ExxonMobil bekerjasama meneliti potensi dalam penerapan teknologi pengitaran semula plastik maju yang berskala besar bagi membantu mewujudkan ekonomi sirkular untuk plastik di Malaysia.

Kedua-dua syarikat juga akan menilai peluang untuk menyokong penambahbaikan dalam pengutipan dan pengasingan sisa plastik di negara ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, PCG sentiasa menerokai dan melaksanakan teknologi inovatif untuk membangunkan penyelesaian mampan yang diminta oleh pelanggannya.

“Usaha sama ini merupakan satu lagi langkah penting ke arah peralihan kepada ekonomi sirkular berikutan peningkatan permintaan untuk produk sirkular dan menandakan komitmen kami untuk menggunakan bahan mentah yang telah dikitar semula dalam industri kimia,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Pemasaran Baru ExxonMobil, Dave Andrew berkata, kitar semula lanjutan memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk sirkular, di samping membantu menangani cabaran sisa plastik.

“Memanfaatkan teknologi baharu dan kepakaran kedua-dua organisasi, kami berharap untuk mempercepatkan ekonomi yang lebih sirkular untuk plastik di rantau ini,” ujarnya.

MoU ini dibina berdasarkan perkongsian lama antara ExxonMobil dan Petronas yang telah menyaksikan pelbagai kerjasama dan usaha perniagaan yang berjaya antara kedua-dua pihak di Malaysia dan luar negara.

PCG komited ke arah mempercepatkan peralihan rantau ini kepada ekonomi yang lebih sirkular untuk bahan plastik.

Syarikat sedang menjalankan beberapa kajian kebolehlaksanaan berkenaan pengitaran semula plastik.

Pada 2019, PCG menandatangani perjanjian dengan Plastic Energy untuk menukar plastik hujung hayat menggunakan proses pirolisis dan fasiliti ini dijangka beroperasi menjelang 2025.

Di samping itu, PCG bekerjasama dengan syarikat pengurusan sisa untuk membangunkan nilai dalam ekosistem sisa pepejal di Malaysia.

Kerjasama ini akan membantu menghentikan sisa plastik daripada dihantar ke tapak pelupusan sampah dan mewujudkan ekosistem yang sesuai untuk peralihan kepada ekonomi sirkular.

ExxonMobil pula merancang untuk membina kapasiti kitar semula lanjutan dalam anggaran 500,000 tan metrik di seluruh dunia menjelang akhir 2026.

Di fasiliti kitar semula lanjutan yang berteraskan teknologi Exxtend hak miliknya di Baytown, Texas, ExxonMobil telah memproses lebih daripada 5,000 tan metrik sisa plastik sejak permulaan operasinya pada 2021, dan menjangka akan menyempurnakan pengembangan fasiliti berskala besar pada akhir tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×