PETALING JAYA: Theta Edge Berhad memenangi Anugerah Kecemerlangan ICT Global WITSA 2022 bagi Anugerah Perkongsian Awam/Persendirian (Sektor Awam/NGO).
Kemenangan itu bagi sistem perakaunan akruan yang dibangunkan untuk Jabatan Akauntan Negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta Edge, Nuraslina Zainal Abidin berkata, sistem dibangunkan untuk memenuhi transformasi perakaunan asas ubah suai tunai kepada perakaunan akruan dan telah dilaksanakan di 11 perbendaharaan negeri di
Malaysia.
Kata beliau, sistem itu juga mematuhi Piawaian Perakaunan Sektor Awam Malaysia (MPSAS)
Menurut beliau, pembangunan sistem tersebut bermula pada 2014 dan telah berfungsi dengan baik dalam memberikan prestasi terbaik kepada semua 11 perbendaharaan negeri di Semenanjung Malaysia dari 2014 hingga sekarang.
“Ia mula dibangunkan pada 2014 dan dilaksanakan pada 2017 bagi Johor, Perlis dan Kedah. Ia telah dilaksanakan oleh negeri-negeri selebihnya di Semenanjung Malaysia pada April 2021,” katanya dalam kenyataan.
Nuraslina berkata, projek itu untuk berjaya dilaksanakan di semua 11 negeri sekarang dan kini perkhidmatan Penyelenggaraan & Sokongan untuk perkakasan dan aplikasi sedang dibekalkan.
Katanya, kejayaan projek tidak akan dapat dicapai tanpa komitmen dan sokongan pasukan dan pasukan perakaunan sektor awam yang komited serta hala tuju dan visi Jabatan Akauntan Negara Malaysia di bawah Kementerian Kewangan.
“Kami bersyukur dengan sokongan yang diberikan oleh Jabatan Akauntan Negara dalam pelaksanaan projek tersebut.
“Apa yang membezakan sistem tersebut dengan yang lain ialah keunikannya yang mampu menjana dwi penyata kewangan untuk kedua-dua akruan dan tunai yang diubah suai berdasarkan konsep Pembalikan & Pengelasan Semula dengan hanya menggunakan satu data transaksi. Sehingga kini, kami mempunyai lebih 56,000 pengguna internet aktif yang menggunakan sistem itu di seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya.
Menurut Nuraslina, sistem tersebut pada masa ini menguruskan semua belanjawan dalam 11 negeri termasuk senarai gaji kira-kira 100,000 pegawai negeri.
Katanya, sistem itu dengan 21 modulnya mempunyai purata 110,000 transaksi harian untuk 11 negeri berkenaan.
“Pengiktirafan kerja keras kami selama bertahun-tahun meningkatkan semangat kami untuk pencapaian kerja yang lebih hebat dan luar biasa. Kami menyasarkan inovasi anjakan paradigma selanjutnya yang boleh menyumbang kepada pembangunan masa depan yang menjanjikan sistem yang lebih baik di dalam organisasi,” tambah beliau.
Pembekal perkhidmatan ICT, Theta Edge yang merupakan anak syarikat Lembaga Tabung Haji, menerima anugerah itu pada majlis Anugerah WITSA Inovasi Global dan Kecemerlangan Teknologi 2022, yang diadakan di Pulau Pinang, khamis lalu.
Anugerah itu disampaikan kepada individu terpilih, institusi akademik, syarikat, pertubuhan bukan kerajaan atau kerajaan yang penggunaan dan aplikasi teknologi digital mempamerkan pencapaian luar biasa. – UTUSAN










