PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menerima 1,251 aduan yang didaftarkan bagi separuh pertama 2022.
Menurut Mavcom, sebanyak 99.1 peratus atau 1,240 aduan yang diterima berkenaan syarikat penerbangan, manakala 0.9 peratus (11) daripada aduan tersebut berkaitan lapangan terbang.
Katanya, ia menggambarkan peningkatan hampir lapan kali ganda berbanding 157 aduan yang diterima dalam tempoh yang sama tahun lalu
“Hasil daripada semakan Mavcom terhadap aduan yang diterima, kira-kira satu perempat menunjukkan syarikat penerbangan mengubah keputusan awal mereka dengan memberikan penyelesaian yang lebih adil atau lebih memuaskan kepada pengguna.
“Secara keseluruhan, 87.9 peratus atau 1,100 daripada jumlah aduan telah diselesaikan dan ditutup,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Mavcom turut menerima 1,317 aduan yang mana tindakan tidak dapat diambil oleh suruhanjaya tersebut kerana 1,160 daripada jumlah aduan tersebut tidak mempunyai dokumentasi yang lengkap.
Selain itu, 59 pula melibatkan aduan yang mana syarikat penerbangan atau lapangan terbang terbabit telah memenuhi kewajipan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC).
“Sebanyak 35 aduan pula telah ditarik balik oleh pengguna, 31 aduan di luar skop MACPC, 29 aduan berkaitan tempahan yang dibuat melalui ejen pelancongan serta tiga aduan dibuat lebih setahun dari tarikh kejadian,” ujarnya.
Mavcom memberitahu, AirAsia menerima jumlah aduan tertinggi dari Januari hingga Jun 2022 iaitu sebanyak 42.1 peratus atau 527 aduan, diikuti Malaysia Airlines (40.7 peratus/509) dan Batik Air (7.9 peratus/99) aduan.
Tambahnya, bagi setiap juta penumpang yang dibawa, Malaysia Airlines mencatatkan jumlah aduan berdaftar tertinggi dengan 199 aduan, diikuti Batik Air (167 aduan) dan AirAsia (95 aduan).
Jelasnya, penjadualan semula penerbangan, pembatalan penerbangan serta tempahan dalam talian secara kolektif menyumbang kepada 46.1 peratus atau 577 daripada jumlah aduan yang diterima.
Mengulas perkara itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, perjalanan udara global menyaksikan pemulihan yang kukuh pada separuh pertama tahun ini, terutamanya apabila semakin banyak sempadan antarabangsa dibuka semula.
Katanya, pengembara mengambil peluang untuk melancong ke luar negara serta penerbangan domestik juga bertambah baik.
“Trafik penumpang meningkat daripada purata 2.90 juta antara Januari dan April kepada purata 4.79 juta antara Mei dan Jun.
“Sememangnya, penyedia perkhidmatan penerbangan Malaysia harus bersedia dengan memberi perhatian kepada pecahan aduan yang digariskan dalam Laporan Pengguna sebagai panduan untuk terus menambah baik tahap perkhidmatan serta menangani punca isu-isu semasa.
“Sebagai langkah proaktif oleh Mavcom, kami juga telah membuat penglibatan secara aktif bersama penyedia perkhidmatan penerbangan untuk memastikan isu-isu seperti ini ditangani,” katanya.- UTUSAN










