Prestasi Bursa Malaysia, ringgit terus lemah - Utusan Malaysia

Prestasi Bursa Malaysia, ringgit terus lemah

NILAI ringgit yang rendah menyebabkan harga barangan import semakin mahal. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai ringgit terus didagangkan rendah apabila ditutup pada 4.6 semalam, selepas mencecah paras 4.500 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) buat pertama kali pada 7 September lalu.

Kadar pertukaran dolar AS ke ringgit dibuka pada 4.5350 semalam, selepas meningkat kepada 4.5010 pada 7 September.

Bursa Malaysia pula memulakan urus niaga dengan rendah semalam selepas cuti hujung minggu Hari Malaysia yang panjang apabila indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh sebanyak 14.50 mata kepada 1,452.81 daripada penutupan Khamis pada 1,467.31.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi ringgit dan bursa yang terus menurun telah berlaku dalam tempoh beberapa bulan semenjak Rizab Persekutuan (Fed) AS memulakan kenaikan kadar faedahnya pada Mac tahun ini dari sifar hingga pada kadar semasa.

“Keadaan ini menyebabkan aliran pasaran modal dunia bergolak dengan menjejaskan hampir semua mata wang negara-negara di dunia, dengan hampir semua bank-bank pusat di lebih 80 negara turut menaikkan kadar faedah masing-masing.

“Ia dijangka berterusan hingga 2023 sehinggalah AS berjaya mengawal kadar inflasi daripada lebih 8.0 peratus sekarang ini kepada 2.0 peratus, dan arah strategi negara AS mengheret ekonomi global kepada kemelesetan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, ia memberikan kesan jangka pendek dan panjang kepada dunia dan negara kita.

“Bagi mengurangkan impak, kita perlu cuba mengimport barangan dalam mata wang selain dolar AS kerana negara2 lain juga turut sama terkesan. Kerjasama antara negara misalnya sesama blok ekonomi seperti Asean boleh digunakan untuk membantu satu sama lain.

“Begitu juga menggunakan mata wang alternatif lain yang besar kitarannya seperti yen dan yuan, sesama negara Asia. Malah, sistem barter atau pertukaran barang perlu digalakkan,” ujarnya.

Aimi Zulhazmi menegaskan, untuk pengeksport terutama syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tempatan pula perlu menukar perolehan daripada dolar AS atau mata wang asing lain kepada ringgit kerana ini akan menguatkan ringgit dengan pembelian mata wang negara.

“Kolaborasi di peringkat antarabangsa juga amat perlu kerana hampir semua negara-negara di dunia terjejas dengan tindakan Bank Pusat AS tersebut.

“Ini jelas bahawa Bank Dunia mahupun IMF tidak memberikan solusi kepada kenaikan mendadak nilai mata wang dolar AS yang memberikan tekanan kepada hampir semua mata wang dunia yang lain,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan juga perlu menekankan tentang penggunaan barangan mentah tempatan untuk digunakan dalam industri perkilangan.

Jelasnya, galakan untuk membeli barangan buatan tempatan bukan lagi satu pilihan tapi mesti dilakukan.

“Kerajaan juga perlu juga menitikberatkan tentang membawa masuk mata wang asing ke dalam negara melalui aktiviti galakkan pelancong luar negara serta memudahkan proses pelaburan asing bagi menjana ekonomi.

“Pengambilan pekerja asing juga perlu dikurangkan kerana penghantaran pendapatan mereka kepada keluarga di negara masing-masing turut menyumbang kepada kelemahan ringgit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×