SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) yakin mampu mengulangi kejayaan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) jika peratusan keluar mengundi mencapai 80 peratus.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka tidak boleh dijadikan ukuran sokongan kepada parti lawan kerana hanya penyokong mereka yang keluar mengundi dalam pilihan raya tersebut.
Katanya, ramai pengundi yang menyokong PH pada 2018 enggan keluar mengundi kerana kecewa dengan perubahan Kerajaan Pusat yang dibuat bukan melalui proses pilihan raya.
“(Alasan mereka adalah) buat apa keluar mengundi, kalau pilih nanti melompat pula.
“Namun, perubahan yang berlaku dalam negara kebelakangan ini telah memberi keyakinan kepada rakyat untuk kembali mengundi seperti (Pilihan Raya Umum) 2018,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Nasional 2022 Amanah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Menurutnya, perubahan yang berlaku itu antaranya ialah penggubalan akta anti lompat parti dan tindakan terhadap apa yang disebut sebagai kleptrokrasi.
Selain itu, tambahnya, kemarahan orang Melayu telah dapat diredakan dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Lembaga Tabung Haji (TH) manakala dakwaan bahawa lembaga itu telah tergadai kepada orang Cina juga telah terjawab dalam keputusan mahkamah baru-baru ini.
Jelasnya, semua pemimpin dan jentera parti Amanah sedang berkempen dan menjayakan gerak kerja bagi mendorong para pengundi menunaikan tanggung jawab mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.
Katanya, para pengundi mesti diyakinkan untuk menyokong dan keluar mengundi Amanah dan PH kerana PRU15 adalah penentu survival rakyat.
“Kami akan beritahu mereka jika tidak keluar mengundi, golongan yang dibenci mereka akan kembali menjadi kerajaan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, keputusan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen PH akan dimuktamadkan sebelum akhir bulan ini.
Katanya, sebanyak tiga pusingan perbincangan telah dilakukan oleh PH mengenai perkara itu yang berlangsung dalam suasana baik dan lancar.
“Lebih 70 peratus pembahagian kerusi itu telah diselesaikan dan bakinya dijangka dapat dimuktamadkan menjelang penghujung bulan ini,” katanya. –UTUSAN










