MELAKA: Para pengunjung teruja berada di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini menyaksikan sambutan Hari Malaysia buat pertama kali diadakan di Semenanjung, malam tadi.
Mencuri perhatian, pasangan suami isteri pelancong asing dari Romania, Vlad, 35, dan isterinya, Madalina, 26, yang datang ke Melaka selepas mendapat tahu sambutan berkenaan diadakan di negeri ini.
Katanya, dia sedang bercuti selama sebulan di Malaysia dan sudah melawat beberapa buah negeri lain.
“Saya tidak pernah sampai di Melaka, apabila dapat tahu sambutan ini, saya dan isteri buat keputusan untuk datang ke sini dan melihat keunikannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, bagi seorang jururawat dari Muar, Johor, Marlianti Othman, 38, dia bersama dua anaknya begitu teruja ingin melihat sambutan Hari Malaysia selepas tidak berkesempatan hadir ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Sambutan Hari Kebangsaan lalu.
“Saya ambil cuti dan menginap di hotel di Banda Hilir semata-mata ingin menyaksikan keunikan sambutan yang berkonsep etnik era tahun 60-an,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Muhammad Zainal Mat, 38, berkata, dia dan isteri sanggup keluar awal selepas solat Jumaat berikutan gusar tidak mendapat tempat untuk menyaksikan hari bersejarah tersebut.
“Peluang ini harus digunakan kerana kita tidak pernah menyaksikan sambutan sebegini yang sering kali diadakan di Sabah dan Sarawak.
“Saya bawa dua anak berusia dua dan lima tahun serta keluar awal berada di dataran ini semata-mata ingin menyaksikan kemeriahannya,” katanya. – UTUSAN











