Sajian laut seperti ikan salmon kaya khasiat kerana peranannya meningkatkan fungsi otak dan memori selain kaya dengan vitamin A dan asid amino.
Kajian dilakukan di Norway, mendapati hanya kira-kira dua daripada 10 kanak-kanak berusia lapan hingga 19 tahun mengambil makanan laut secara mencukupi dalam diet harian, sekali gus ia tidak mengikuti garis panduan diet kebangsaan.
Kajian oleh Ipsos bagi Majlis Makanan Laut Norway itu turut mendapati dianggarkan kira-kira 80 peratus kanak-kanak tidak makan dua hingga hidangan makanan laut bagi tempoh seminggu seperti disyorkan garis panduan nutrisi kebangsaan.
Pengarah Jualan Asia Tenggara, Majlis Makanan Laut Norway, Asbjorn Warvik Rortveit berkata, perkara itu harus dipandang serius dalam kalangan ibu bapa berikutan dengan untuk mencuba mempelbagaikan sajian ikan kerana makanan laut itu mempunyai manfaat kepada kesihatan.

BANYAK NEGARA
Katanya, masalah itu, tidak hanya berlaku di Norway, sebaliknya di kebanyakan negara Barat termasuk Asia Tenggara.
“Apa yang kita bimbang ialah kanak-kanak tidak memperoleh sumber nutrisi mencukupi sepanjang usia mereka membesar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat Salmon dan Fjord Trout Norway selamat, lestari dan berkhasiat anjuran Majlis Makanan Laut Norway baru-baru ini. Turut hadir, Cef Sous Curious Kitchen, Jordash DeCruz,
Katanya, kekurangan sumber protein dalam kalangan kanak-kanak diibaratkan seperti bom jangka dalam aspek kesihatan awam.
“Kanak-kanak sepatutnya dilengkapi nutrisi untuk tumbesaran sempurna. Menjaga keselamatan dan pemakanan yang selamat secara sihat adalah cara untuk mengatasi wabak pada masa ini dan pada masa depan,” katanya.
Kajian seumpama itu pernah dilakukan pada 2018 di Amerika Syarikat (AS), mendapati hanya enam peratus kanak-kanak mengambil sajian ikan dua kali seminggu.
Asbjorn menjelaskan, cabaran kesihatan awam memberikan implikasi jangka panjang hingga membolehkan kanak-kanak kehilangan nutrien penting menyokong perkembangan sihat.
Katanya, ia berikutan apa dimakan ketika kecil menjadi asas bagi diet sewaktu dewasa.
“Ikan dan makanan bercengkerang adalah sumber protein rendah lemak, kaya vitamin penting dan mineral termasuk iodin dan Omega-3. Ia boleh didapati dalam ikan salmon dan mackerel” katanya.
Tambahnya ibu bapa tidak perlu menjadi tukang masak handal untuk menyediakan sajian makanan enak sebaliknya boleh mengolah resipi secara sihat, ringkas dan segar.
“Ini sudah mencukupi tidak kira sajian ikan segar, produk ikan sejuk beku kerana ikan berkualiti mampu mengekalkan kesegaran walaupun sudah disimpan lama,” katanya.

BEZA SALMON DAN TROUT
» Tekstur – ikan trout lebih kenyal berbanding ikan salmon sangat lembut.
» Saiz – ikan trout lebih kecil dan warna isinya sedikit terang berbanding ikan salmon.
» Sajian – Ikan trout enak disediakan dalam hidangan Barat dengan cara disalai atau dimakan mentah.
KHASIAT:
* Meningkatkan fungsi otak dan memori kerana ia kaya dengan vitamin A dan asid amino.
* Mengurang keradangan, pembekuan darah dan mengurangkan risiko strok, radang sendi atau kanser.
* Pengembangan otot menerusi kandungan protein dan asid amino.
* Meningkatkan metabolisme dan mengawal diabetes dan gula dalam darah.
* Mencegah serangan jantung.










