Lagu Kepulangan Yang Dinanti yang sering berkumandang ketika tiba Aidilfitri akan menghadirkan perasaan yang berbeza selepas penyanyinya, Aman Shah pergi bertemu Maha Pencipta, semalam.
Allahyarham yang dimasukkan ke hospital sejak Isnin lalu, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), pukul 2.20 petang, akibat serangan jantung.
Berita duka itu telah dikongsikan kepada Utusan Malaysia oleh pembantu peribadi adiknya, Amirudin Mokhtar.
“Allahyarham meninggal dunia sekitar 2.20 petang. Dia jatuh selepas menjalani pembedahan, malam kelmarin,” katanya.
Dilahirkan di Johor Bahru, Aman atau nama sebenarnya, Aman Shah Abu Kassim mula menceburkan diri dalam industri seni sejak tahun 1979.
Allahyarham yang pada awal kemunculannya terkenal dengan lagu-lagu berentak pop pernah bernaung di bawah syarikat rakaman EMI selama tujuh tahun, antara 1980 hingga 1987.
Sepanjang pembabitan dalam dunia nyanyian, Aman pernah melahirkan sembilan album antaranya Bungaku (1979), Cinta Tak Seindah Diucap (1980), Dunia Orang Muda (1980) dan Ku Mengerti Erti Sepi (1981).
Allahyarham turut aktif dalam dunia lakonan dan pernah tampil dalam empat filem, termasuk Darah Satria (1983), Azura (2012), Aku Bukan Gila (2020) dan Dato’ Ai La Beau (2022).
Allahyarham pernah mendirikan rumah tangga sebanyak tiga kali dan dikurniakan enam orang anak menerusi perkahwinannya itu.
KEHILANGAN DIRINDUI
Berita pemergian Aman Shah amat memberi kesan kepada peminat dan mereka yang mengenalinya.
Penyanyi, Datuk Khadijah Ibrahim yang terkejut dengan berita duka itu menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang sangat peramah dan disenangi oleh rakan artis.
“Saya terkejut apabila diberitahu Aman sudah tiada. Saya sempat menghubungi adiknya, Datuk Nasser Abu Kassim yang kini berada di Jakarta, Indonesia untuk bertanyakan tentang hal tersebut.
“Sepanjang mengenalinya, arwah sangat periang dan susah untuk melihat dia marah. Dia rajin bercerita dan sangat berilmu, lebih-lebih lagi berkaitan industri seni.
“Dia melayan peminat ibarat keluarganya sendiri dan tidak berkira dengan rakan-rakannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, penyanyi Salwa Abdul Rahman pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang tidak sombong dan mudah didekati.
“Arwah tidak banyak bercakap, namun murah dengan senyuman. Dia bukan jenis yang suka bergelak ketawa dan bercakap perkara yang sia-sia.
“Saya tahu dia menghidap penyakit jantung dan pernah merancang untuk menziarahinya. Namun, hasrat tersebut tidak kesampaian setelah mendapat berita dia sudah tiada,” ujarnya.











