Anak bukan mangsa ‘agenda peribadi’ - Utusan Malaysia

Anak bukan mangsa ‘agenda peribadi’

Didik dengan berhemah agar ia tidak meninggalkan parut emosi. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Ustaz! Patutkah saya doakan arwah ibu bapa saya? Mereka dahulu bukan ibu bapa yang baik. Saya jadi begini kerana parut luka yang mereka toreh pada jiwa saya!”

Pernah seorang anak malang punyai trauma jiwa yang berat, bertanya soalan tersebut pada saya. Tergamam saya dibuatnya. Kita boleh nasihati mereka supaya sabar, namun yang memikul jauh lebih berat tanggungannya. Semoga Allah berikan kesabaran untuk anak ini memaafkan ibu bapanya.

Anak-anak adalah amanah dan ujian Allah untuk ibu bapa (al-Anfal: 28 & al-Taghabun:15). Benar! Ibu bapa pastinya mahu terbaik untuk anak-anak, namun ia tetap perlu diimbangi seadilnya agar tidak menjadikan anak-anak mangsa agenda peribadi.

Anak-anak bukan ‘produk pendidikan’ yang dilahirkan untuk membanggakan ibu bapa, pihak sekolah atau Menteri Pendidikan dengan deretan A dalam peperiksaan. Ibu bapa juga bukan ‘pemegang saham’ yang berhak menuntut anak-anak agar memenuhi segala kehendak ‘syarikat’ mereka.

Sebaliknya ibu bapa adalah fasilitator untuk kebahagiaan hidup anak-anak. Didik anak-anak untuk hidup mereka yang masih jauh perjalanannya. Didik dengan berhemah agar ia tidak meninggalkan parut emosi.

Berikut beberapa cadangan senarai semak Islam yang perlu ibu bapa penuhi agar mereka menjadi penyelamat anak-anak dan bukannya pisau yang merincih emosi serta fizikal mereka:

1) Tambah ilmu sepanjang hayat
Ibu bapa wajib mengisi diri dengan ilmu dunia dan ilmu akhirat sebagai syarat utama mengemudi keluarga ke syurga. Keluarga yang kosong ilmu akhirat seumpama pesawat yang patah sebelah sayapnya ketika berada tinggi di udara. Ia kelak mudah jatuh terjunam menghempas bumi.
Tanggungjawab menambah ilmu akhirat seiring ilmu dunia lebih utama dipenuhi oleh ayah kerana mereka adalah pemimpin rumah tangga (al-Nisa’: 34). Percayalah, segala masalah dalam keluarga yang meracik emosi pasangan dan anak-anak berpunca daripada kejahilan ketua keluarga.

2) Peneguhan tauhid
Muslim bertuhankan Allah, bukannya makhluk. Pemomokan anak-anak dengan ‘hantu’ wajib dihindarkan sama sekali. Jika tidak, sia-sialah asas tauhid yang mula kita terap seawal kelahiran mereka dengan laungan azan dan didikan solat seawal usia tujuh tahun. Peneguhan tauhid menjadi pesanan utama Luqman al-Hakim di awal pendidikan beliau kepada anaknya (Luqman:13)
Lihat bagaimana cara penerapan tauhid oleh Rasulullah SAW ketika mengajar sepupu baginda (Abdullah Ibn ‘Abbas) yang masih kecil. Sabda Nabi SAW bermaksud: Wahai anak! Aku akan mengajarkanmu beberapa pelajaran berguna. Jagalah (hak) Allah (dengan mentaati-Nya), sudah pasti Allah akan menjagamu. Jagalah (hak) Allah, sudah pasti Allah akan membantumu. Jika engkau mahu meminta sesuatu maka mintalah dari Allah. Jika engkau mahukan pertolongan, maka mintalah pertolongan darinya.
Percayalah jika seluruh umat manusia berkumpul untuk memberikanmu sesuatu manfaat, mereka tidak akan mampu (sama sekali) memberikanmu manfaat melainkan apa yang sudah Allah tentukan untukmu. Dan jika mereka (seluruh umat manusia) berkumpul untuk memudaratkanmu, mereka tidak akan mampu (sama sekali) memudaratkanmu melainkan apa yang sudah Allah tentukan untukmu. Pena takdir sudah diangkat dan kertas takdirmu juga sudah kering! (Takdir yang ditulis semenjak azali sudah muktamad dan tidak akan berubah) (Al-Tirmidzi: 2440).

3) Memilih kawan
Sebelum berpesan kepada anak-anak agar memilih kawan yang betul, ibu bapa terlebih dahulu wajib memilih kawan yang betul kerana ibu bapa adalah cerminan anak-anak. Jika kawan ayahnya sekumpulan penyamun atau penggila seks, si anak boleh membesar sebagai ketua perompak atau manusia yang rosak fitrahnya.
Sebaliknya jika teman ayahnya kaki masjid, si anak boleh menjadi imam solat di Masjid tersebut. Lihat pesanan Luqman kepada ibu bapa dan anak dalam pemilihan kawan yang bermaksud: Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan tauhid dan amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan (Luqman: 15)

4) Pemantapan akhlak
Lazimnya ibu bapa yang berakhlak mampu mendidik anak berakhlak. Surah Luqman juga mengajarkan prinsip akhlak mulia pada pendidikan anak-anak (Luqman: 18-19). Akhlak adalah ‘bahasa diam yang sangat lantang suaranya’ mendidik anak-anak menjadi insan soleh musleh.
Pernah guru tadika berpengalaman berpesan kepada saya, ibu bapa cerminan anak-anak.
Jika anaknya kasar dan suka mencarut, itu petanda mudah bagaimana ‘bahasa’ ibu bapanya di rumah.

5) Cintakan al-Quran
Al-Quran memang terbukti mengubah para sahabat Nabi SAW daripada manusia jahiliah yang berjiwa kosong kepada generasi al-Quran terbaik.
Para sahabat dan generasi salafussoleh menemui ‘jauhari Islam yang sebenar’ kerana mereka masuk ke gedung Islam melalui pintu yang betul iaitu al-Quran.
Sediakan program yang mampu mendekatkan anak kita dengan al-Quran secara menyeluruh. Biar mereka sibuk dengan al-Quran untuk mengalih perhatian mereka daripada berbagai gejala sosial tidak elok yang semakin tepu melanda masyarakat.

6) Istiqamah berdoa
Doa adalah ibadat paling mudah yang tidak perlukan modal yang besar. Modalnya cuma lidah dan hati yang ikhlas. Doa ibu bapa kepada anak-anak adalah doa terbaik kerana ia dipanjatkan dengan penuh ikhlas. Ia juga laju menerjah awan naik ke langit.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Tiga jenis doa yang tiada keraguan pada penerimaannya (oleh Allah), iaitu doa (ibu) bapa kepada anaknya (sama ada doa yang baik atau buruk), doa orang musafir dan doa orang yang sedang dizalimi. (Sunan Abu Daud, 1313).
Usahkan kita, para rasul yang mulia pun tidak putus berdoa untuk anak-anak mereka Nabi Ibrahim a.s (al-Saffat: 100), Nabi Zakaria a.s (Ali ‘Imran: 38). Jika doa ibu bapa kepada anak-anak mereka dimakbulkan Allah, ia bakal bertimbal balik kepada ibu bapa dan menjadi ‘tabung akhirat’ yang berterusan isian pahalanya.
Ia sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud: Sesungguhnya seorang lelaki (dan wanita) akan diangkat darjatnya dalam syurga. (Berikutan itu) dia akan bertanya Allah “Bagaimana mungkin aku dapat peningkatan ini?” Lalu dikatakan padanya “Ini adalah kerana (berkat) doa pengampunan untukmu oleh anakmu (yang soleh). (Sunan Ibn Majah, 3650).
Hidup di dunia hanya sekali, isilah yang sekali ini dengan bakti terbaik untuk anak-anak dan keluarga.
Berikan mereka kenangan terindah semasa bernaung di bawah kita dan jangan lukakan mereka sehingga meninggalkan parut perit menjerut jiwa.

——
Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×