PM diminta selamatkan rakyat Malaysia di luar negara

PM diminta selamatkan rakyat Malaysia di luar negara

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diminta campur tangan bagi menyelamatkan ribuan rakyat Malaysia termasuk ada yang berusia semuda 16 tahun yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar, Kemboja dan Laos.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim ber­kata, gerakan menyelamat oleh Kementerian Luar sekarang tidak memadai jika dibandingkan dengan Taiwan yang berjaya menyelamat semua rakyat mereka yang ditahan bersama-sama rakyat Malaysia dan China.

“Kerajaan perlu pantas terma­suk menggunakan platform ke­tua-ketua kerajaan ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana berdasarkan maklumat waris mangsa, ‘kekejaman’ sindiket telah memasuki fasa baharu apabila ada rakyat Malaysia yang dipaksa menjadi pelacur dan diugut diambil organ untuk dijual di pasaran gelap.

“Kita juga mendapat maklumat ada rakyat kita yang dikenakan renjatan elektrik setelah gagal mencapai sasaran pelanggan yang ditipu secara dalam talian dan terdapat keluarga mangsa menunjukkan gambar dikatakan rakyat Malaysia yang ditembak mati oleh sindiket di Myanmar tetapi dakwaan itu kita belum dapat sahkan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Malaysia dan akhbar-akhbar berbahasa Mandarin di sini, semalam.

Baru-baru ini, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sehingga 2 September lalu, seramai 195 warga Malaysia yang dipercayai menjadi mang­sa sindiket penipuan tawaran pekerjaan dilaporkan masih berada di luar negara.

Daripada jumlah itu, mangsa paling ramai dilaporkan di Kemboja iaitu 148 orang diikuti Thailand (23 orang), Laos (22 orang) dan Myanmar (dua orang).

Hishamuddin berkata, usaha yang digerakkan Kementerian Luar yang melibatkan maklumat disalurkan kepada kedutaan Malaysia yang kemudiannya bekerjasama dengan pihak berkuasa negara terlibat tidak memadai kerana ada pihak mendedahkan maklumat kepada sindiket yang kemudiannya memindah mangsa kepada sindiket lain atau dipindahkan ke luar negara untuk ditempatkan di kem tentera di Myanmar.

“Ini menyebabkan hutang yang ditanggung mangsa kepa­da sindiket semakin bertambah dan keluarga mangsa perlu membayar pampasan dalam jumlah yang besar jika mahu mereka dibebaskan. Kita tidak menggalakkan dibebaskan de­ngan cara ini kerana ia akan menggalakkan mereka ‘menculik’ lebih ramai rakyat Malaysia.

“Beberapa hari lepas kita juga menerima maklumat kira-kira 50 rakyat Malaysia telah tiba di Myanmar untuk bekerja dengan sindiket. Jadi kita berharap Jabatan Imigresen memperketatkan kawalan pintu keluar ke Myanmar, Kemboja dan Laos serta lorong-lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.

Modus operandi sindiket didalangi rakyat China adalah memperdayakan mangsa menerusi iklan peluang kerjaya di Facebook sebagai pegawai khidmat pelanggan atau penterjemah di Dubai, Bangkok dan Turkiye dengan bayaran lumayan.

Selepas mendapat persetujuan mangsa, ejen memaklumkan akan mengurus dan menanggung kos perbelanjaan perjalanan ke destinasi yang ditukar pada saat-saat akhir dan selepas tiba di Myanmar, Kemboja atau Laos, semua dokumen perjalanan dan telefon mangsa akan dirampas serta dimusnahkan.

Mereka kemudian dikurung dan dikawal ketat serta akhirnya dipaksa bekerja untuk sindiket perjudian dalam talian, scammer, pelaburan, love scam dan penipuan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN