Banyak hati saya kecewakan – Alyah

Banyak hati saya kecewakan – Alyah

ALYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA kali dia mengesat air mata. Menarik nafas untuk mula berkata-kata. Dia seperti dibawa ke masa silam, mengimbau perjalanan seninya yang penuh ranjau. Tidak seindah yang segelintir kita anggapkan.

Datin Alyah, sepotong nama yang melayari lautan seni sejak 22 tahun lalu. Meredah ombak badai, berkorban jiwa raga yang akhirnya membawa dia ke hari ini. Berdiri atas kredibiliti dan populariti yang diraih.

Saya membuka gelanggang pertanyaan. Apa yang telah dia korbankan sepanjang langkah seninya? Adakah terdapat titik penyesalan dalam hidup yang menjadikan dia ingin sekali memutar masa?

“Masa. Pengorbanan itu datang dengan kejayaan dan ada kalanya, kekesalan. Masa itu saya laburkan sepenuhnya kepada kerjaya seni. Mungkin tidak besar mana untuk industri, tetapi bagi saya, itu pengorbanan terbesar.

“Saya tiada masa dengan kematian. Tiada masa untuk meraikan. Hari raya, hari cuti semua saya berikan untuk industri seni. Kadang-kadang, bila kita kembali memikirkan, banyak hati yang telah saya kecewakan.

“Tetapi, ini jalan yang saya pilih. Saya tidak boleh putar kembali masa. Cuma, pengorbanan itu mengajar saya untuk menghargai setiap apa yang dimiliki. Sekarang, Tuhan beri saya peluang, tebus kembali semua,” katanya.

Hakikatnya, pelayaran seninya cukup berliku. Banyak kali dia terduduk. Dihempas kontroversi, dibadai kisah sensasi. Cuma, kuatnya Alyah, dia masih mampu berdiri walaupun luka tetap ada di hati.

Dia memulakan perjalanan seni dengan menyertai Asia Bagus ketika usianya menganjak 17 tahun. Gelaran naib juara ternyata belum cukup memberi ruang dan peluang untuk dia berlari mengejar populariti.

Lantas, dia mencuba sekali lagi, menyertai Bintang HMI dan berjaya menjadi juara. Namun, sekali lagi, sinar kerjayanya suram.

Walaupun berbekal dua album, dia masih terkapai-kapai mencari identiti. Tak Mungkin Kerana Sayang akhirnya membuka jalan. Dia mula dikenali, namun perlu bersaing dengan pendatang baharu pula. Merebut peluang dan ruang. Dugaan itu datang dari sisi berbeza.

“Dulu saya sering persoalkan, kenapa sukar untuk berjaya. Labur masa, duit untuk apa? Balik rumah menangis dan menyesali setiap percubaan. Tetapi, bila saya fikir balik, semua itu menjadikan siapa saya sekarang.

“Itu adalah proses seorang anak seni. Kalau tidak melalui semua itu, macam mana saya mahu terima ujian yang lebih berat. Allah hadirkan semua itu bukan untuk suka-suka, tetapi menyedarkan saya.

“Saya bukan sentiasa menang. Lebih banyak kekalahan sebenarnya. Lebih-lebih lagi, saya berdikari dalam industri seni. Rezeki Allahberi, saya masih di sini. Berniaga bakat dan suara,” katanya.

Cinta Sahabiyah

HADIR dengan karya baharu, Cinta Sahabiyah, penyanyi kelahiran Johor ini seperti membuka layar cerita tentang dirinya. Mengharapkan pengakhiran yang baik untuk dia serta mereka yang ada di sekeliling.

Mengamati liriknya, Alyah seperti meluahkan rasa syukur dan menghargai kehadiran insan tersayang yang diharapkan memimpin
tangannya menuju syurga.

“Saya menulis lagu ini sehari selepas menjalani pembedahan bariatrik. Ketika itu, saya seorang diri. Jadi, saya hubungi Ustazah Asni Mansor dan memberitahu, ‘Ustazah, saya nak buat lagu tentang wanita yang mahu jadi baik’.

“Lantas ustazah menjawab, kalau zaman nabi, wanita baik digelar sahabiyah. Maka, lahirlah lagu ini yang berkisahkan seorang wanita berhijrah mencari kebahagian dan mensyukuri cinta,” katanya.

Mengenali Alyah, setiap karya yang dipersembah bukan calang-calang. Dia berhabis jiwa dan raga, masa serta wang untuk memastikan setiap karya itu mencapai kualiti dan mencerminkan kematangan seninya.

Maka ramai tertanya-tanya, adakah dia seorang yang ‘mahal’? Berhabis puluhan atau mungkin ratusan ribu ringgit demi menjayakan sesebuah projek? Sebegitu besarkah cintanya terhadap kerjaya seni?

“Saya buat sesuatu bukan untuk menarik perhatian orang. Saya mahu impress diri sendiri. Bukan untuk tunjuk siapa hebat
atau berlawan-lawan dengan orang lain. Saya mahu rasa berbaloi bila keluarkan lagu.

“Saya seorang peniaga muzik. Bukan penyanyi sahaja. Saya menjual jenama dan bakat. Untuk mencapai itu, saya kumpul duit sendiri. Kerja lebih masa, sapu semua tawaran persembahan untuk tampung kos tersebut.

“Saya belajar, untuk menjadi siapa Alyah sekarang bukan mudah. Dulu, mungkin saya meminta ikan untuk makan, tetapi Allah bagi mata kailnya. Jadi, tugas saya untuk menggunakan nikmat yang Tuhan beri itu,” katanya.

Perkahwinan, kehidupan

PADA usia 41 tahun, Alyah mengakui, dia lebih matang, terutama dalam mengendali emosi dan rohaninya. Dia tidak lagi mengejar perkara yang sia-sia. Baginya, kehidupan selepas kematian lebih menjanjikan kebahagiaan.

Kehidupan seninya tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Baik suara, fesyen dan perkahwinan. Sentiasa ada mata yang memerhati dan cuba menjatuhkan. Bukan sekali dua dia menelan pedihnya menjadi anak seni.

“Cakaplah apa sahaja, tak suka suara, fesyen atau muzik saya, semua boleh ditelan. Tetapi, bila masuk soal peribadi, itu menyakitkan.
Mereka seperti tahu segala-galanya. Menokok tambah cerita seolah duduk serumah dengan saya.

“Dahulu mungkin saya terkilan, menyimpan rasa sakit sedalam-dalamnya tetapi kini tidak. Perkahwinan banyak mengajar saya untuk
menjadi wanita yang lebih matang dan tenang. Menerima semua ini sebagai ujian.

“Apatah lagi, saya bukan budak muda. Usia semakin meningkat, sudah banyak yang telah dilalui. Jadi, bila mereka halakan anak panah cuba menusuk dada, saya sudah ada kekebalan itu,” ujarnya.

Lantas, saya layangkan pertanyaan, adakah isteri kepada maestro, Datuk Ramli MS ini bahagia menjalani kehidupannya kini?
Adakah dia masih dihantui kontroversi yang suatu ketika dahulu menggegarkan industri hiburan?

“Alhamdulillah, kebahagiaan itu dapat dirasai. Saya tidak tahu bagaimana perjalanan kami pada masa akan datang, tetapi Allah
tempat kami berlindung. Perkahwinan ini cukup besar untuk saya.

“Permulaan kami banyak kacau-bilau, ada ‘tsunaminya’. Tetapi, sembilan tahun bersama, setiap apa yang berlaku mendekatkan diri saya kepada Maha Pencipta. Perkahwinan ini adalah asbab untuk lebih menjaga hubungan dengan Tuhan,” ujarnya. – PANCAINDERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×