MENJADI kewajipan setiap umat Islam mengambil berat makanan yang dimakan bagi memastikan ia datang daripada sumber halal selain penyediaan yang baik dan bersih.
Allah SWT berfirman bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah (kamu) dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika kamu hanya menyembah kepadaNya. (al-Baqarah:172)
Dalam hal ini, Rasulullah SAW juga pernah menegaskan dalam satu sabda baginda bermaksud:
Mencari yang halal itu adalah fardu (wajib) bagi setiap orang Islam.” (Riwayat ad-Dailami)
Di Pulau Pinang, isu melibatkan makanan halal ini turut ‘hangat’ diperkatakan susulan kisah peniaga nasi ayam dan nasi itik di Sungai Ara yang tular baru-baru ini kerana dipercayai menjual makanan daripada sumber meragukan serta tidak boleh dimakan oleh umat Islam.
Kejadian itu membuka mata pelanggan khususnya golongan Melayu yang beragama Islam untuk lebih berhati-hati dalam memilih makanan walaupun secara amnya, makanan tersebut kelihatan seperti ‘halal sepenuhnya’.
Pengusaha kantin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Convent Datuk Keramat di sini, Ella Wong, 41, berkata, kursus berkenaan memberi manfaat untuk dirinya yang telah 10 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan makanan di sekolah.
Beliau menghadiri kursus itu atas inisiatif sendiri memberitahu, selain berpeluang untuk memohon sijil halal, dia juga didedahkan bagaimana untuk menyediakan makanan secara lebih bersih dan sebagainya.
“Di sekolah saya ada ramai murid dan guru berbangsa Melayu tapi mereka takut makan di kantin sekolah kerana tiada sijil halal.
“Jadi, dengan adanya sijil halal nanti, saya harap mereka dapat makan bersama-sama kami (bukan Melayu yang bukan beragama Islam) di kantin. Saya rasa ramai murid terutamanya ingin makan makanan Cina dan India, namun, tidak berani kerana tiada sijil halal,” katanya ditemui pada Kursus Pemerkasaan Sijil Halal kepada Pengusaha Kafe Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pengusaha Kantin Sekolah terpilih di seluruh Pulau Pinang baru-baru ini.
Program itu dianjurkan Pusat Pengajian Pengurusan USM.
Perniaga makanan di kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Tun Uda, Bayan Lepas, Ismail Hashim, 51, berkata, keperluan memiliki sijil halal ketika ini agak tinggi walaupun rata-rata pengusaha kantin sekolah rendah dan menengah kebangsaan adalah berbangsa Melayu serta beragama Islam.
Katanya bila ada sijil halal, ia mengukuhkan peluang pengusaha kantin, mendapatkan tender projek kantin di sekolah.
“Pada masa sama, apabila Kementerian Kesihatan Malaysia datang membuat pemeriksaan kebersihan dan sebagainya, urusan kami akan dipermudahkan disebabkan adanya logo halal ini,” katanya yang berpengalaman selama sembilan tahun dalam bidang tersebut.
Tambah Ismail, pengusaha kantin sekolah khususnya perlu merebut peluang untuk mengikuti kursus sedemikian sebaik mungkin kerana ia secara tidak langsung memajukan perniagaan mereka pada masa depan.
Pengusaha sebuah kafeteria di USM, Nooradeela Kamal Suradee, 34, turut senada dengan Ismail dan berpendapat bahawa kursus ringkas selama sehari itu sangat bermanfaat untuk kumpulan peniaga makanan seperti mereka.
“Saya mengambil alih perniagaan yang diusahakan oleh arwah ibu saya ini sejak 12 tahun yang lalu dan kami memang tidak memiliki sijil halal sepanjang tempoh itu.
“Sebenarnya, kami memang telah diuar-uarkan mengenai keperluan mendapatkan sijil halal namun, disebabkan tak ada pengetahuan yang mendalam mengenai perkara ini dengan betul (cara memohon sijil halal), maka, ia sering tertangguh,” katanya yang menjalankan perniagaan nasi berlauk.
‘Memudahkan proses permohonan’
Kursus selama sehari yang julung kalinya diadakan itu mendapat kerjasama baik daripada beberapa jabatan dan agensi lain termasuk Bahagian Jaringan Industri dan Komuniti USM, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Penang Halal International (PHI) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).
Sementara itu, Pengarah program, Prof. Madya Dr. Anees Janee Ali berkata, pelaksanaan kursus itu bukan sahaja memudahkan para pengusaha yang berkenaan untuk mendapatkan sijil halal, namun, turut menggalakkan mereka untuk menghasilkan produk makanan yang lebih bermutu tinggi serta bersih sekaligus mengelakkan daripada berlakunya sebarang pencemaran atau keracunan makanan pada masa depan.
GERAN KHAS
Melalui kursus itu peserta turut diberitahu bahawa terdapat satu geran khas disediakan oleh mereka melalui kerajaan negeri iaitu geran melibatkan barang-barang perkakas dapur dan beliau percaya bahawa ini merupakan kali pertama kumpulan pengusaha makanan itu mendapat tahu mengenai perkara tersebut.
“Ketika ini, terdapat kira-kira 379 pengusaha kantin sekolah di Pulau Pinang dan kalau boleh, kita mahu semua pengusaha ini juga mendapat sijil halal sama ada pada tahun ini juga atau tahun depan.
“Insya-Allah kursus ini akan diteruskan pada masa depan jika mendapat geran serta tajaan daripada pihak yang berkenaan,” katanya pada majlis perasmian kursus itu baru-baru ini.
Lebih 120 peserta terdiri daripada sekurang-kurangnya 50 pengusaha kafe di USM dan 70 pengusaha kantin sekolah terpilih mengambil bahagian dalam kursus terbabit yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.
Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP, Nor Liza Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif PHI, Fazil Irwan Som dan Penolong Pengarah JPNPP, Shukri Idris.
Pengusaha terlibat dengan kursus itu perlu membayar yuran permohonan untuk mendapatkan pensijilan halal, namun, boleh menuntut semula wang berkenaan iaitu sebanyak RM200 di bawah Program Geran Pensijilan Halal Malaysia seperti yang diperuntukkan ketika ini.










