KUALA LUMPUR: A.P. Moller-Maersk (Maersk), syarikat logistik bersepadu, menjangkakan pertumbuhan syarikat yang berterusan sejajar dengan pengembangan jejak dan pembangunannya di negara ini sebagai hab bersepadu strategik.
Pengarah Urusan Maersk Thailand, Malaysia dan Singapura, Rupesh Jain berkata, hab tersebut meliputi penawaran penyatuan, keupayaan memenuhi keperluan tempatan dan serantau dengan sambungan yang kukuh merentas mod pengangkutan ke rangkaian global
Katanya, perkara tersebut bukan sahaja membantu pertumbuhan syarikat, malah dapat membentuk ekosistem yang boleh menggalakkan pertumbuhan pada pelanggan mereka.
“Kami melihat Asia adalah tempat di mana momentum pertumbuhan agak tinggi. Jadi kami jangkakan ia akan terus tumbuh. Pada suku kedua lalu Maersk menyaksikan pertumbuhan sebanyak 61 peratus yang mana sebahagian besarnya adalah pertumbuhan secara organik iaitu kira-kira 30 peratus untuk beberapa suku sebelum ini. Kami melihat pelanggan selari dengan visi integratif syarikat dan menggunakan kami sebagai penyedia perkhidmatan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Maersk dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi memacu pelaburan berkualiti tinggi di negara ini sebagai satu daripada hab logistik terunggul di ASEAN di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Rupesh berkata, kerjasama tersebut diharap dapat mendorong pelaburan teknologi dan berimpak tinggi dalam sektor seperti automotif, elektrikal dan elektronik (E&E), mesin dan peralatan, peranti perubatan, aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi pengguna.
“Memandangkan pelanggan kami sedang mengkonfigurasi semula rantaian bekalan mereka untuk menjadikannya lebih tangkas, berdaya tahan dan mampan, Maersk sentiasa mengembangkan jejak logistik kami secara global untuk menyokong transformasi ini.
“MoU antara Maersk dan MIDA ini akan menjadi langkah pertama yang penting ke arah lebih banyak kerjasama dalam mewujudkan sinergi menang-menang untuk kedua-dua pihak dalam usaha kami menyokong MIDA menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN










