Petron sasar buka 40 stesen minyak baharu menjelang akhir tahun

Petron sasar buka 40 stesen minyak baharu menjelang akhir tahun

SHALIZA Mohd. Sidek (tiga dari kanan) dan Ketua Kesetiaan dan Enrich Malaysia Airlines, Amiroel Shazrie Yussof (dua dari kiri) bersama pemenang-pemenang TENtu Happy Ohsem Treats pada majlis penyampaian hadiah di Akademi Malaysia Airlines. - UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petron Malaysia menyasarkan untuk membuka sehingga 40 lagi stesen minyak baharu menjelang akhir tahun ini dalam usahanya mengukuhkan kedudukan di pasaran.

Ketua Perniagaan Runcitnya, Shaliza Mohd. Sidek berkata, kira-kira separuh daripada jumlah dibuka meliputi milik syarikat dan wakil pengedar (dealer).

Katanya, kos bagi membangunkan stesen tersebut adalah berbeza bergantung sama ada ia milik syarikat atau wakil pengedar yang mungkin memerlukan kos lebih tinggi kerana melibatkan pemilikan tanah.

“Dengan peningkatan kos barang pada masa ini sudah tentu akan memberi impak kepada kos untuk membangunkan stesen baharu. Namun, kami masih mengembangkan perniagaan dan membuka cawangan baharu setiap tahun.

“Sehingga kini, Petron sudah mempunyai lebih 740 stesen minyak di seluruh negara dengan penguasaan pasaran antara 20 hingga 25 peratus. Dengan pembukaan cawangan baharu setiap tahun, kami berharap dapat meningkatkan lagi penguasaan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah kempen TENtu Happy Ohsem Treats anjuran Petron dan Enrich Malaysia Airlines serta beberapa rakan strategik lagi di Akademi Malaysia Airlines di sini, hari ini.

Sementara itu, Shaliza berkata, kempen TENtu Happy Ohsem Treats yang berlangsung selama lima bulan bermula dari 15 Jun hingga 15 November tersebut akan memilih 100 orang  pemenang setiap bulan.

Menurutnya, pelanggan yang mengisi minyak sebanyak RM50 di stesen minyak tersebut akan mempunyai satu peluang untuk menyertai kempen berkenaan.

“Kempen ini dilancarkan sejajar dengan persekitaran sekarang yang mana orang ramai sudah mula membuat perjalanan selepas sekian lama berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Setiap bulan kami akan membuat cabutan dan memilih 100 pemenang, jadi untuk tempoh lima bulan ini, sebanyak 500 pemenang akan dipilih,” ujarnya.

Tambahnya, 10 pemenang utama akan dipilih setiap bulan yang akan memenangi 50,000 mata ganjaran Enrich yang boleh ditebus untuk tiket penerbangan serta penginapan hotel dan hadiah wang tunai sebanyak RM500. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×