PETALING JAYA: Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia telah mengumumkan bahawa Charles Lee King Long dan Gan Kim Guan, yang merupakan rakan kongsi Kreston John & Gan adalah dilarang daripada menerima dan mengaudit mana-mana entiti berkepentingan awam (PIE) atau kumpulan wang jadual selama 12 bulan berkuat kuasa 3 Ogos 2022.
Selain larangan itu, AOB juga mengenakan denda sebanyak RM35,000 ke atas Lee dan RM17,500 ke atas Gan.
Menurut SC, sekatan ke atas Lee dan Gan dibuat akibat kegagalan mereka mematuhi Piawaian Antarabangsa tentang Pengauditan (ISA) yang berkaitan semasa mengaudit PIE.
Ia juga dibuat selepas proses sewajarnya diberikan kepada mereka termasuk peluang untuk merayu terhadap keputusan tersebut.
“Sebagai rakan kongsi tugasan untuk pelanggan PIE, Lee telah salah menilai pertukaran PIE daripada rangka kerja perakaunan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) kepada Piawaian Pelaporan Kewangan (FRS) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.
“Pertukaran itu adalah didapati tidak sesuai dan tidak konsisten dengan pelaksanaan MFRS oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia.
“Lee juga gagal melaksanakan prosedur audit ke atas pelbagai elemen anggaran perakaunan yang berkaitan dengan kos pembangunan hartanah, serta gagal mendapatkan bukti audit yang sesuai untuk menyokong kesimpulan yang dicapai.
“Dalam pelbagai keadaan, dokumentasi bagi menyokong kesimpulan yang dicapai oleh Lee didapati sama ada tidak lengkap atau tidak mencukupi,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, Gan pula, sebagai Penyemak Kawalan Kualiti Tugasan (EQCR), telah gagal untuk menyemak dengan secukupnya dokumentasi audit terpilih yang berkaitan dengan pertimbangan penting dan bidang risiko penting dalam penglibatan dan asas kesimpulan yang dicapai.
Ujarnya, ia dapat dilihat dalam penggunaan rangka kerja perakaunan, kos pembangunan hartanah, perdagangan belum terima, hasil dan usaha berterusan.
“AOB memandang serius perkara ini dan menekankan peranan penting EQCR dalam memastikan integriti kualiti audit dan proses kawalan,” katanya. – UTUSAN










