TAHUN BAHARU 2021 sekali lagi muncul dalam teratak kehidupan kita. Islam mengharuskan umatnya meraikan apa jua bentuk sambutan selagi ia tidak bercanggah dengan syarak seperti kaedah fiqh: “Asal sesuatu perkara harus kecuali apabila datang dalil pengharamannya”.
Sesungguhnya peredaran masa dalam kehidupan sebagai satu ketetapan di sisi Allah SWT sejak penciptaan langit dan bumi agar manusia mengambil pengajaran seperti firman Allah SWT di dalam al-Quran (ali-Imran: 140).
Meskipun tahun Masihi dicipta oleh gereja Rom sebagai rujukan penganut Kristian, namun Islam masih membuka ruang keharusan untuk meraikannya asalkan tidak bercampur dengan perkara mungkar seperti pergaulan bebas, minum arak, hiburan melampau atau amalan khurafat yang merosakkan akidah dan kepercayaan umat Islam.
Oleh itu, Islam meletakkan beberapa kaedah dalam kita meraikannya supaya ia mendatangkan pahala dalam masa yang sama menjauhkan kita daripada dosa dan laknat Allah SWT seperti firman-Nya: “Jelas kerosakan yang berlaku di bumi dan laut berpunca daripada tangan-tangan manusia” (al-Rum: 42).
Pertama, kita hendaklah bersyukur dengan nikmat umur yang masih berbaki ini dengan membuktikan kesungguhan kita dalam ibadat kepada Allah SWT. Justeru, sambutlah kedatangan tahun baharu dengan amalan yang murni dan aktiviti yang sihat seperti solat sunat hajat, majlis agama, solat berjemaah di masjid atau surau, gotong royong dan program kemasyarakatan yang dapat membina hubungan kasih sayang sesama manusia. Allah SWT berfirman: Hendaklah tolong menolong dalam kebaikan dan ketaqwaan, janganlah tolong menolong dalam dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya azab-Nya sangat berat. (al-Ma’idah: 2).
Kedua, mengajak diri dan ahli keluarga bersama menginsafi bahawa kedatangan tahun baharu menandakan umur kita semakin singkat dan hampir ke penghujung. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu bila, di mana dan bagaimana keadaan tersebut. Pesan Saidina Umar al-Khattab r.a: “Hitunglah dirimu sebelum kamu dihitungkan dan timbanglah amalanmu sebelum kamu ditimbangkan kerana itulah yang akan memudahkan urusanmu pada hari perhitungan nanti”.
Seterusnya, ambillah kesempatan tahun baharu ini dengan azam yang murni. Tidak semestinya azam itu mesti bersifat material atau memerlukan pengorbanan harta yang banyak, tetapi biarlah ia sedikit asalkan kita mampu melakukannya secara konsistan.
Berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit. (Riwayat al-Bukhari). Maka letaklah azam yang kita mampu melakukannya secara berterusan seperti sedekah RM1 setiap hari, berpuasa sunat sekali setiap minggu atau solat sunat duha setiap hari yang dapat menjadikan kita hamba yang lebih sempurna.
Semakin bertambah hari dan tahun, semakin dekat ajal kita. Jadikanlah kehidupan di dunia ini hanya sebagai jambatan menuju ke seberang sana, iaitu alam akhirat yang kekal abadi.
Usah melampau dengan perkara yang sia-sia seperti keseronokan yang melampau setiap malam tahun baharu, lebih malang jika ada yang menyambut tahun baharu dengan melakukan dosa dan kemungkaran kepada Allah SWT.
Kita mengharapkan segala kebaikan kita sepanjang tahun yang lalu diterima di sisi-Nya sementara segala dosa diampuni-Nya. Orang yang beriman sentiasa mengambil pengajaran dari al-Quran: Katakanlah (wahai Muhammad)! Mahukah aku khabarkan kepada kalian tentang orang yang paling rugi amalannya? Iaitulah orang yang sia-sia kehidupannya di dunia, lalu dia menyangka bahawa dia telah melakukan kebaikan. (al-Kahfi: 103-104).
Marilah kita sentiasa muhasabah diri mengukur diri yang sebenar di samping kita dapat membuat persiapan yang lebih sempurna sebagai bekalan untuk kehidupan yang kekal abadi di akhirat.
- FAHIMI ZAKARIA, pensyarah di Pusat Pengajian Fundamental, Management and Science University.










