PETALING JAYA: Keputusan meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan menyebabkan aktiviti ekonomi terus perlahan kerana kos dana menjadi lebih tinggi, dan permintaan pasaran lemah disebabkan pengguna mengelak untuk berbelanja.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sekiranya berterusan, ekonomi mungkin beralih kepada fasa kemelesetan seperti yang dijangka berlaku kepada ekonomi AS pada suku keempat tahun ini.
Ujarnya, dengan harga komoditi utama yang semakin menurun seperti minyak mentah sudah menunjukkan ekonomi terarah kepada kemelesetan pada tahun depan.
“Apabila keadaan itu berlaku, kadar pengangguran akan kembali meningkat dan kos barangan terus naik dengan kadar inflasi yang tidak dapat dibendung lagi dengan hanya menaikkan kadar faedah sahaja.
“Perlu difahami, kenaikan inflasi yang mencetuskan kenaikan kadar faedah di seluruh dunia bukan berpunca daripada kenaikan permintaan selepas pandemik sahaja, tetapi juga kerana peningkatan kos pengeluaran dan logistik barangan serta perkhidmatan dalam rantaian nilai global,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi bagi menyelaraskan pasaran kewangan negara dengan kebanyakan negara-negara lain yang telah melakukan perkara sama mengikuti keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).
Menurut Aimi Zulhazmi, sekiranya OPR tidak dinaikkan, pasaran modal terutamanya kewangan akan menyaksikan aliran keluar wang dari negara.
“Aliran keluar pelaburan akan menyebabkan nilai mata wang negara terus lemah apabila para pengurus dana kewangan bertindak menjual ringgit dan membeli dolar AS yang bakal terus mengukuh berbanding ringgit dan mata wang dunia lain.
“Sekiranya BNM tidak membuat pelarasan kenaikan kadar faedah OPR, nilai mata wang ringgit dan aliran keluar tunai tetap juga berlaku, cuma kesannya mungkin lebih teruk,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, para peminjam akan terus menerima tekanan keseluruhannya sama ada korporat atau pinjaman runcit.
“Sudahlah menghadapi kenaikan harga barang yang tinggi dalam beberapa dekad, kini terpaksa pula menstruktur semula perbelanjaan yang lebih daripada pendapatan bulanan mereka untuk membuat pembayaran pinjaman bank.
“Selain itu, permintaan untuk kereta dan rumah baharu dijangka turut perlahan berikutan peningkatan OPR, seterusnya memberi kesan jangka panjang kepada industri hartanah dan permotoran negara,” ujarnya. – UTUSAN










