Peningkatan kadar tambang penerbangan adalah wajar

Peningkatan kadar tambang penerbangan adalah wajar

TONY Fernandes (tiga, kanan); Ketua Daerah Tapanuli Utara, Drs. Nikson Nababan (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Veranita Yosephine Sinaga (tiga kiri) ketika pelancaran laluan Airasia Jakarta-Silangit di Danau Toba, Indonesia, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DANAU TOBA: Tambang penerbangan perlu dinaikkan berikutan peningkatan harga bahan api dan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) yang terus kukuh, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd., Tan Sri Tony Fernandes.

“Saya tidak fikir tambang kapal terbang akan kembali seperti 2019. Semua syarikat penerbangan juga perlu menjana keuntungan selepas pembukaan sempadan.

“Jika dilihat, tambang kapal terbang juga masih lebih rendah berbanding tambang teksi dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran penerbangan sulung pesawat AirAsia Indonesia bagi laluan Jakarta-Silangit di sini, kelmarin.

Capital A Berhad selaku pengendali rangkaian penerbangan AirAsia turut menyasarkan sebanyak 40 juta penumpang kembali menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara itu menjelang akhir tahun ini.

Tony berkata, sasaran itu dijangka dapat dicapai berikutan peralihan negara ke fasa endemik, selain perkembangan signifikan susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa beberapa negara, sama ada secara penuh atau berperingkat.

Bagaimanapun katanya, pemulihan kepada tahap pra-pandemik hanya mampu dicapai pada suku ketiga 2023.

“Pertumbuhan tahun ini sangat besar berbanding 2021 memandangkan tahun lalu tidak banyak penerbangan yang boleh beroperasi dan kita berharap boleh mencapai hampir 40 juta penumpang menjelang akhir tahun ini.

“Industri penerbangan juga diramal kembali pulih sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun hadapan sejurus beberapa negara, terutama di utara Asia membuka pintu sempadan mereka,” ujarnya.

Menurut Tony, penutupan China berikutan lonjakan kes Covid-19 di negara itu juga tidak memberi impak yang besar kerana China hanya menyumbang 15 peratus daripada jumlah penumpang keseluruhan dan angka itu juga sudah diatasi menerusi pembukaan laluan baharu di Indonesia, Thailand dan India.

“India kini muncul sebagai destinasi membabitkan pertumbuhan pasaran yang besar, selain (penutupan sempadan) China memberikan Malaysia dan Thailand peluang pembukaan laluan baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×