TNB, NUR Power bekerjasama sedia inisiatif tenaga hijau

TNB, NUR Power bekerjasama sedia inisiatif tenaga hijau

MAJLIS menandatangani kerjasama menyediakan solusi tenaga pintar dan Tenaga Boleh Baharu antara TNB dan NUR Power di Putrajaya, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin kerjasama strategik dengan N.U.R Power Sdn. Bhd. (NUR Power) untuk menyediakan solusi tenaga pintar dan Tenaga Boleh Baharu (TBB) sebagai sumber utama elektrik masa hadapan kepada para pelanggan NUR Power di kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah serta lain-lain kawasan berlesen di bawah NUR Power.

Memorandum Persefahaman (MoU) mengenainya ditandatangani bagi membolehkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) atas bumbung, solar berskala besar serta penyediaan prasarana pengecas kenderaan elektrik dapat diberikan kepada semua pelanggan di kawasan KHTP.

Dalam kenyataan bersama, TNB dan NUR Power berkata, memandangkan permintaan global untuk tenaga hijau terus berkembang, NUR Power komited untuk melabur dalam mengembangkan tenaga solar bagi meningkatkan bekalan Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan pematuhan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi menarik pelabur asing serta domestik.

“Melalui kerjasama itu, TNB memperoleh rakan strategik lain bagi melaksanakan inisiatif TBB bersama NUR Power sebagai pembekal elektrik eksklusif kepada KHTP dan kawasan berlesen lain.

“Para pelanggan di KHTP dapat menikmati kelebihan harga yang kompetitif untuk solusi solar atas bumbung daripada kerjasama antara anak syarikat milik penuh TNB, GSPARX dan anak syarikat milik NUR Power, JS Solar,” katanya.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengarah Urusan NUR Power, Ikwan Hafiz Jamaludin di Putrajaya, 26 Ogos lalu.

Majlis disaksikan oleh Ketua Solusi, Bahagian Retail TNB, Mohamed Azrin Mohamed Ali dan Pengerusi NUR Power, Datuk Wira Ir. Mohd Sidek Ahmad.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Kanan (Bekalan Elektrik) Kementerian Tenaga & Sumber Asli (KeTSA), Mareena Mahpudz dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Datuk Hamzah Hussin.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata, kerjasama tersebut satu perkembangan yang amat memberangsangkan kepada negara dan TNB kerana ia sejajar dengan aspirasi syarikat utiliti itu mempercepat peralihan tenaga kepada tenaga hijau.

“TNB berhasrat mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan salah satu inisiatif utama untuk mencapai aspirasi ini adalah melalui membina kerjasama utama dan memperkukuh perkongsian yang akan membantu kami memacu agenda Peralihan Tenaga dengan lebih jauh lagi.

“Ia selaras dengan agenda kerajaan berhubung kapasiti TBB dan inisiatif hijau sejajar dengan kami menuju ke arah masa depan yang lebih baik dan cerah untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Ikhwan Hafiz pula berkata, kerjasama dalam sektor TBB dapat merealisasikan matlamat peralihan utiliti TBB sebagai dua pembekal utiliti tenaga di Semenanjung.

“Ia juga dapat menyokong ikrar iklim dan visi ESG bagi syarikat-syarikat multinasional (MNC) di KHTP dengan menyediakan keperluan dan kelengkapan sumber TBB bagi transformasi KHTP menjadi taman teknologi hijau yang unggul di Asia Tenggara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×