ILTIZAM Catalyst bantu IKS bumiputera

ILTIZAM Catalyst bantu IKS bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ILTIZAM, cabang Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) melancarkan ILTIZAM Catalyst, sebuah program pembangunan keusahawanan baharu yang bertujuan membantu industri kecil dan sederhana (IKS) bumiputera menangani cabaran asas perniagaan.

Ia juga bagi membantu IKS agar dapat berkembang dan berdaya saing dalam pasaran tempatan mahupun global.

Permohonan untuk menyertai ILTIZAM Catalyst dibuka kepada usahawan IKS bumiputera dalam semua sektor perniagaan di seluruh negara dan usahawan yang dipilih akan menerima bantuan teknikal dan bimbingan bernilai sehingga RM25,000 untuk membangunkan kemahiran dan pengetahuan dalam empat teras perniagaan utama.

Empat teras itu adalah kewangan dan tadbir urus profesional, penjenamaan dan pemasaran digital, penerapan dan penggunaan teknologi serta kepimpinan supaya dapat merapatkan jurang dan mengukuhkan kapasiti perniagaan lantas membantu usahawan mencatatkan perkembangan jangka panjang yang mampan dan meningkatkan daya saing perniagaan mereka.

Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, kekurangan kemahiran dalam empat teras utama itu memberi impak kepada prestasi kewangan perniagaan.

“Menerusi ILTIZAM Catalyst, kami akan mengasah keupayaan dan kecekapan di dalam bidang-bidang yang kritikal agar para usahawan bukan sahaja cemerlang tetapi berdaya saing, kompetitif dan berdaya tahan untuk berkembang dengan lebih maju dalam situasi ekonomi dunia yang mencabar.

“Dengan kemajuan yang mampan, perusahaan-perusahaan ini akan membuka lebih peluang pekerjaan dan menyumbang secara lebih besar dalam industri dan ekonomi,” katanya dalam kenyataan.

Sejak awal penubuhannya, Ekuinas komited membantu syarikat Malaysia bersaiz sederhana dan besar untuk mempercepatkan pertumbuhan perniagaan melalui pelaburan dan ILTIZAM adalah lanjutan daripada usaha Ekuinas untuk memangkinkan perkembangan usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari fasa awal.

Tambah Hizwani, sejak 2012 juga, ILTIZAM telah membantu hampir 4,000 usahawan mikro, kecil dan sederhana.

“Mereka dilatih, dibantu dan dibimbing agar dapat mengenal potensi mereka dan terus bersaing. ILTIZAM Catalyst akan membimbing sehingga 30 IKS untuk tahun ini selama tiga hingga enam bulan untuk meningkatkan keupayaan operasi dan digital untuk melonjakkan pertumbuhan mereka ke fasa yang baru,” katanya.

Permohonan untuk menyertai ILTIZAM Catalyst dibuka bermula 5 sehingga 18 September 2022.  Maklumat lanjut boleh layari https://catalyst.ekuinas.com.my/. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×