Situasi
“Tidak cukup Malaysiakah kami?” Itu antara luahan puluhan ibu-ibu terkesan yang berjuang sehabis baik bagi mendapatkan kewarganeraan di negara ini untuk anak-anak mereka.
Bertemu jodoh dengan orang asing dan melahirkan pula anak di luar negara menyebabkan anak-anak berkenaan dinafikan hak sebagai warganegara.
Persoalannya bagi mereka, mengapa lelaki Malaysia yang dalam situasi sama boleh mendapatkan hak kewarganeraan anak secara automatik?.
Sedangkan wanita pula perlu membuat permohonan mendaftarkan anak dan lebih memeritkan seringkali permohonan itu ditolak tanpa sebarang alasan yang konkrit.
Berkongsikan kisah sedih itu, salah seorang ibu terkesan, Ummal Remiza Khaja Mohideen,37, berkata, dia sendiri tidak menyangka penghijrahannya mencari rezeki sebagai pramugari di Doha, Qatar menemukan jodoh bersama suami.
Namun, ditakdirkan pula dia mengalami kehamilan berisiko tinggi menyebabkan dia tidak mampu untuk pulang ke Malaysia dan melakukan perjalanan jauh untuk keselamatan anak dalam kandungan.
“Masa itu saya fikir tak apa selepas anak lahir saya akan daftarkan di kedutaan namun di situ saya difahamkan kami kena buat permohonan dan kelulusan pula bergantung kepada menteri dalam negeri.
“Waktu itu dunia rasa seakan gelap seketika. Lebih menggusarkan kerana sekarang kami sudah pulang ke Malaysia untuk menetap bersama keluarga sementara suami masih perlu bertugas di Qatar,” katanya.
Ummal ditemui pada Majlis Merdeka untuk Ibu-ibu Warga Malaysia anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Family Frontiers yang membantu menyuarakan hak ibu-ibu berkenaan.
Mengalami nasib sama, Rachel Ng,42, turut meluahkan rasa kecewa dengan sistem patriarki yang masih diamalkan sejak 65 tahun lalu.
Katanya, dia sudah melengkapkan segala butiran untuk mendaftarkan anak sebagai warganegara namun, selepas tujuh tahun permohonan itu masih dalam proses pending.
“Selepas berkahwin dengan lelaki Ireland di London kami membuat keputusan menetap di Malaysia namun sebelum itu saya sudah melahirkan anak di negara berkenaan.
“Tidak sangka pula proses memohon warganegara begitu rumit. Saya hanya inginkan hak anak saya di tanah air saya sendiri.
“Apa akan jadi pada dia (anak) jika saya tiada satu hari nanti? Mungkin sistem patriarki diamalkan sejak lama dahulu boleh diperhalusi semula kerana wanita sekarang turut mencari rezeki untuk keluarga. Kami juga bayar cukai dan menyumbang untuk keluarga,” katanya yang bekerja dalam bidang pengiklanan.
Kelompongan undang-undang
Pensyarah Jabatan Undang-undang Sivil, Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Dr. Norhafizah Mohd. Badrol Afandi berkata, undang-undang ciptaan manusia (man made law) tidak terlepas daripada kelompongan.
Contohnya, terdapat undang-undang bersifat patriarki.
Menyedari perkara tersebut Perlembagaan Persekutuan telah dipinda pada tahun 2001 berkaitan dengan Perkara 8(2) dengan memasukkan perkataan ‘jantina’ kepada peruntukan tersebut.
“Walaupun pindaan terhadap Perkara 8(2) telah dibuat namun ingin saya tekankan di sini bahawa merujuk kepada Hansard yang bertarikh 1.8.2001 ms 74, Menteri ketika itu Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim menegaskan bahawa ‘yang difikirkan penting ketika itu adalah Perkara 8 oleh kerana Perkara 8 mengandungi asas kepada kesamarataan sedangkan Perkara 14 dan 15 mengenai warganegara.
“Hal warganegara amat rumit dan pada masa itu kita tidak perlu sentuh dahulu kerana peruntukan-peruntukan khusus di bawah Undang-Undang Kewarganegaraan perlu mendapat satu penelitian yang lebih khusus sedangkan di bawah Perkara 8(2) kita hanya perlu member taraf yang sama kepada Wanita’,” katanya memetik ayat menteri ketika itu.
Perkara berkenaan menyebabkan Perkara 14 dan 15 kekal sehingga hari ini tanpa sebarang pindaan walaupun di bawah Perkara 14 dibaca Bersama dengan seksyen 1 (b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan.
Ia jelas menyatakan bahawa jika anak yang lahir di luar negara hanya bapa warganegara Malaysia dan ibu bukan warganegara yang boleh mewarisi kewarganegaraan Malaysia melalui kuatkuasa undang-undang dan hak yang sama tidak diperuntukkan kepada ibu warganegara yang berkahwin dengan bukan warganegara jika anak lahir luar negara.
Katanya, Malaysia menggunapakai konsep jus soli iaitu hak mendapat kerakyatan di sesebuah negara berdasarkan kelahiran di negara itu. Ia turut menggunapakai konsep jus sanguinis iaitu hak darah.
Ini mengambil kira kewarganegaraan salah seorang ibu atau bapa kandungnya adalah warganegara Malaysia.
Usul pindaan
Mengenai kemungkin pindaan perlembagaan, Nor Hafizah berkata, Mahkamah Rayuan membuat keputusan dan kini rayuan telah di buat oleh ibu-ibu yang diwakili oleh Family Frontiers untuk menfaikan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Jelasnya, di bawah doktrin pengasingan kuasa, tugas badan kehakiman adalah untuk mentafsir peruntukan undang-undang seterusnya membuat penghakiman.
Tugas legislatif pula adalah untuk membuat, meminda peruntukan undang-undang.
“Dalam konteks ini pihak kerajaan yang juga merupakan badan di dalam legislatif harus memainkan peranan mereka untuk menilai kelompongan di dalam undang-undang yang sedia ada.
“Kerajaan dalam keadaan berhati-hati di dalam menangani isu berkaitan kewarganegaraan haruslah memandang serius perkara ini dengan membawa usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
“Suatu Jawatankuasa Kerja harus ditubuhkan diperingkat Parlimen untuk mengkaji dan mencari jalan penyelesaian terbaik demi masa depan kanak-kanak selaras dengan slogan Keluarga Malaysia yang diterajui oleh kepimpinan Perdana Menteri pada ketika ini,” ujarnya.
Tambahnya lagi, perkara berkenaan juga perlu disembah maklum kepada Majlis Raja-raja kerana sebarang perubahan berkaitan undang-undang kewarganegaraan bukan sahaja harus mendapat 2/3 majoriti kedua-dua Dewan di Parliamen tetapi ia juga harus mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.
Bagaikan hukuman
Bersimpati dengan ibu-ibu terkesan, Nor Hafizah berkata mereka bagaikan dihukum kerana terlibat dalam perkahwinan antarabangsa.
“Bayangkan bagaimana kesusahan mereka lalui. Sebahagian dari mereka terpaksa balik ke Malaysia dengan keadaan yang sarat mengandung hanya untuk melahirkan anak.
“Ada sebahagiannya terpaksa melahirkan anak di luar negara tanpa kerelaan mereka disebabkan sekatan perjalan disebabkan pandemik Covid-19.
“Mereka terjerat dengan undang-undang sedia ada yang tidak membolehkan mereka mewarisi kewarganegaraan Malaysia kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara,” luahnya.
Keadaan bertambah teruk sekiranya mereka terpaksa bercerai dan menghadapi dilema sama ada hendak pulang ke Malaysia atau terus tinggal di negara asing.
“Sekiranya mereka pulang, apa nasib anak mereka kerana kanak-kanak itu bukan dikira sebagai warganegara Malaysia,” katanya.
Mengulas mengenai tempoh menunggu keputusan permohonan pula katanya, walaupun kerajaan menyatakan bahawa permohonan itu harus diteliti terlebih dahulu namun disarankan kerajaan mengadakan satu prosedur operasi standard (SOP) berkaitan jangkamasa menunggu bagi satu permohonan.
“Tempoh menunggu yang terlalu lama akan menjejaskan masa depan kanak-kanak tersebut. Kerajaan harus mengutamakan masa depan kanak-kanak ini yang beribukan warga Malaysia berbanding dengan mengurniakan kewarganegaraan kepada pemain bola melalui proses naturalisasi sebagaimana yang dikurniakan kepada pemain bola yang berasal dari England iaitu Lee Tuck baru-baru ini.
“Adakah kanak-kanak ini harus dihukum hanya disebabkan mereka dilahirkan di luar negara melalui proses perkawinan antarabangsa di mana ibu mereka memilih untuk berkawin secara sah dengan warga asing?,” soalnya.
Betulkah patriarki?
Kenapa kahwin warga asing dan beranak pula di luar negara? Itu soalan yang sentiasa ditanya apabila seorang wanita warganegara Malaysia menuntut hak kerakyatan negara ini untuk anaknya.
Tetapi soalan itu tidak timbul pula apabila lelaki warganegara Malaysia berkahwin dengan mana-mana warga asing di luar dan apabila dapat anak, budak itu automatik dapat kerakyatan Malaysia.
Dalam perbahasan tentang isu ini, ramai warganet sering membangkitkan kenapa orang perempuan ‘gatal-gatal’ kahwin orang luar dan beranak di sana? Tak ada lelaki tempatan kah yang hendak dibuat suami? Tetapi bila lelaki buat begitu, tidak pula menjadi isu. Tiada masalah berbangkit. Perkataan `gatal-gatal’ pun tidak digunakan.
Sedangkan, ada saja lelaki yang berkahwin dengan warga asing, isterinya lebih selesa melahirkan anak di luar negara, bila ada kelapangan sedikit bercuti dan berbelanja sakan di luar negara, golongan ini dengan mudah anaknya mendapat kerakyatan Malaysia.
Seboleh-bolehnya, banyak pihak terutamanya pihak yang berkuasa tidak mahu mengaitkan isu ini dengan diskriminasi gender. Tapi sebenarnya pusing-pusing ikut mana pun, ia tetap begitu. Diskriminasi itu macam tidak boleh diselindung.
Dan dalam kes lain pula, seseorang pemain bola sepak contohnya dengan mudah mendapat kerakyatan di negara ini berbanding anak dari seorang ibu warganegara Malaysia tentu ini boleh menimbulkan banyak persoalan.
Ada juga yang membangkitkan situasi sebegini :- Apabila anak yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia itu tetapi bapanya orang luar, tiba-tiba menyerlah bintangnya di luar negara, mengharumkan nama negara yang buat seluruh rakyat negara ini bangga, barulah kita mahu mengaku itu anak berdarah Malaysia!
Memang betul hakikat yang perlu kita akui, sepatutnya tidak mudah untuk mendapat kerakyatan di negara ini. Kerakyatan bukan mudah diberi kepada sesiapa. Ini adalah soal keselamatan dan kedaulatan negara yang mesti dipertahankan dan dijaga.
Tetapi apabila dalam kes-kes tertentu ia nampak seperti mudah diberikan, tentunya ada kelompongan dan tidak adilnya di situ.
Undang-undang seharusnya menegakkan keadilan untuk semua, bukan dengan mudah memperlihatkan berat sebelah.
Jika bimbang muncul ramai yang ada dwi kerakyatan, permudahkanlah bagi pasangan yang sememangnya mahu menetap terus di negara ini dan tidak mendapat kerakyatan lain mengikut bapanya.
Janganlah proses permohonan mengambil masa bertahun-tahun dan kena melalui terlalu banyak prosedur dan kerenah birokrasi sehingga menjejaskan macam-macam urusan anak terbabit yang tidak mendapat keistimewaan seperti rakyat di negara ini.
Undang-undang kita bersifat patriarki? Kita boleh nilai sendiri.
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.









