PETALING JAYA: Penyanyi, Datin Alyah menafikan desas desus namanya tersenarai antara peserta Gegar Vaganza (GV) musim baharu yang bakal diumumkan esok.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Alyah berkata, setakat ini, dia tidak menerima sebarang tawaran untuk menyertai program realiti tersebut.
“Bukanlah saya tak nak masuk GV. Itu adalah satu program yang sangat baik. Lagipun saya pernah menyertai program realiti lain seperti The Masked Singer. Cuma itulah, mungkin saya bukan untuk GV.
“Saya tidak nafikan, ada beberapa faktor yang jelas memungkinkan saya tidak pernah ditawarkan. Semua tahukan ketua juri adalah suami saya, Datuk Ramli MS. Mungkin ada isu-isu berbangkit,” katanya.
Selain Alyah, beberapa nama penyanyi popular antaranya Jaclyn Victor, Sheila Abdull, Asmidar dan Dina Nadzir disebut-sebut sebagai bakal peserta yang bersaing merebut kejuaraan program untuk edisi sembilan itu.
Dalam pada itu, Alyah berkata, dia terbuka sekiranya ditawarkan untuk menyertai program yang telah menobatkan Siti Nordiana, Naqiu dan Aliff Aziz sebagai juara musim-musim lalu itu.
“Kalau tawaran menarik dan berbaloi, kenapa tidak kan? Apa pun, kita doakan semoga rezeki kita semua dipermudahkan. Cuma setakat ini, bukan saya,” katanya.











