Pandemik: Masa depan industri sarung tangan getah tidak menentu

Pandemik: Masa depan industri sarung tangan getah tidak menentu

PERMINTAAN global untuk sarung tangan terus meningkat sebanyak 15 peratus setahun, disokong oleh peningkatan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kebersihan.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERALIHAN ke fasa endemik telah membuka semula ekonomi negara untuk berkembang lebih pesat, namun telah melembapkan industri sarung tangan getah negara yang kini menyaksikan penurunan permintaan.

Meskipun syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan getah masih lagi mencatatkan keuntungan dalam kunci kira-kira mereka, namun jumlah tersebut semakin jatuh berbanding semasa penularan wabak Covid-19 pada 2020.

Selain itu, risiko varian baharu Covid-19 juga tidak begitu membimbangkan terutamanya setelah ramai orang mengambil vaksin bagi mencegah penularan wabak tersebut.

Sebagai contoh, pengeluar sarung tangan getah, Supermax Corporation Bhd (Supermax) baru-baru ini mengumumkan keuntungan bersih lebih rendah kepada RM732.43 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM3.82 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Keuntungan yang lebih rendah tersebut didorong oleh kemerosotan berterusan purata harga jualan (ASP) serta permintaan terhadap sarung tangan getah.

Malahan, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) turut menyemak turun unjuran global sarung tangan dunia pada tahun ini kepada 399 bilion berbanding 452 bilion yang diunjurkan pada awal tahun.

Semakan semula tersebut dilakukan setelah mengambil kira situasi terkini dan ancaman virus Omicron yang tidak terlalu tinggi.

Perkembangan terbaharu tersebut agak kurang menyenangkan kepada pertumbuhan industri sarung getah negara yang menjadi peneraju dan menguasai sebanyak 65 peratus pasaran dunia.

PENYELIDIK menjalankan kajian bagi menghasilkan sarung tangan getah berkualiti untuk memenuhi pasaran. – GAMBAR HIASAN

Mengulas perkembangan itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jualan dan keuntungan syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan getah tidak lagi seperti semasa fasa pandemik pada 2020.

Katanya, ini disebabkan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital di fasa endemik telah berkurangan dengan ketara, menyebabkan permintaan terhadap sarung tangan getah menurun ke paras sebelum pandemik.

“Saya melihat masih ada potensi masa depan untuk industri ini disebabkan ketidaktentuan dari segi kemunculan penyakit-penyakit yang tidak dijangka seperti cacar monyet.

“Namun, sebahagian daripada syarikat sarung tangan getah ini dikenakan sekatan oleh Jabatan Kastam Amerika Syarikat (AS) kerana isu pekerja asing dan ini boleh memberi kesan negatif kepada mereka jika tidak diselesaikan dengan segera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Tambah beliau, peningkatan kesedaran untuk menjaga kebersihan dan kesihatan dalam masyarakat juga mendorong kepada pengurangan permintaan terhadap sarung tangan getah.

“Permintaan kebiasaannya datang daripada penyedia perkhidmatan kesihatan seperti hospital dan klinik. Jika kesedaran rakyat semakin meningkat dalam aspek kesihatan, ini akan mengurangkan kemasukan pesakit,” jelasnya.

ANTARA produk sarung tangan getah yang dikeluarkan untuk pasaran. – GAMBAR HIASAN

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kejayaan program vaksinasi dan penularan virus baharu Covid-19 yang berkurangan menyebabkan permintaan terhadap sarung tangan getah menurun.

“Kebanyakan negara maju masih lagi mempunyai stok simpanan sarung tangan getah, kesan daripada belian panik hingga akhir 2022.

“Ini menandakan stok simpanan yang sudah banyak menyebabkan pengurangan permintaan terhadap produk tersebut,” ujarnya.

Namun begitu, beliau berkata, permintaan terhadap sarung tangan getah masih ada kerana ancaman virus Covid-19 belum lagi lenyap sepenuhnya, dan kemunculan penyakit-penyakit baharu seperti cacar monyet yang memberi kebimbangan kepada masyarakat.

“Para pengeluar sarung tangan getah juga harus mempelbagaikan lagi rangkaian produk yang lebih inovatif dan mempunyai ciri-ciri mesra alam. Mereka juga perlu mendakap jenis-jenis pelaburan yang baharu seperti Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Ini supaya  produk dan perkhidmatan mereka mempunyai ciri-ciri tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×