TNB catat untung RM872.2 juta suku kedua 2022

TNB catat untung RM872.2 juta suku kedua 2022

IR BAHARIN DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM872.2 juta bagi suku kedua berakhir pada 30 Jun 2022 daripada RM821.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Prestasi itu disumbangkan oleh peningkatan keuntungan operasi yang disokong oleh kerugian bersih instrumen kewangan yang lebih rendah.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat utiliti negara itu memberitahu, keuntungan bersih bagi suku kedua berkenaan bagaimanapun diimbangi oleh kenaikan ketara dalam kerugian tukaran mata wang asing serta perbelanjaan cukai.

Perolehan hasilnya melonjak kepada RM19.14 bilion daripada RM12.44 bilion sebelum ini, disebabkan oleh peningkatan ‘kekurangan kedudukan pemulihan’ mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak RM6.3 bilion berbanding RM314.6 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

TNB telah meluluskan dividen interim satu peringkat sebanyak 20 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 yang berjumlah RM1.15 bilion dan pengumuman berkaitan termasuk tarikh pembayaran akan diumumkan kelak.

Bagi tempoh selama enam bulan (separuh pertama), keuntungan bersih TNB susut kepada RM1.77 bilion daripada RM1.78 bilion sebelum ini, disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan cukai, termasuk tambahan RM257.3 juta bagi Cukai Makmur pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Selain itu, hasil bagi separuh pertama itu meningkat kepada RM34.80 bilion berbanding RM23.92 bilion sebelum ini.

Hasil Kumpulan tanpa bayaran balik ICPT bagi separuh pertama 2022 meningkat 4.4 peratus kepada RM24.99 bilion daripada RM23.93 bilion.

Hasil lebih tinggi itu dikaitkan dengan kenaikan jualan elektrik TNB dalam semua sektor, selaras peningkatan keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia sebanyak 6.9 peratus tahun ke tahun.

Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) dilaporkan pada RM10.58 bilion.

EBITDA (tanpa bayaran balik ICPT) meningkat kepada 42.3 peratus daripada 40.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi operasi TNB.

Mengulas prestasi berkenaan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir. Baharin Din berkata, Kumpulan melaporkan prestasi berdaya tahan pada separuh pertama tahun kewangan 2022 disokong oleh pertumbuhan elektrik yang lebih tinggi sebanyak 5.0 peratus tahun ke tahun.

“Itu selaras dengan prestasi keseluruhan ekonomi Malaysia yang berkembang pada 6.9 peratus untuk tempoh yang sama.

“Bagaimanapun, Kumpulan terus menghadapi cabaran dan kekal terdedah kepada harga bahan api yang tinggi yang mengakibatkan baki penghutang yang tinggi.

“Kumpulan meramalkan prestasi yang munasabah untuk tahun 2022 sambil kekal berhati-hati terhadap kesan berpanjangan daripada harga bahan api yang tinggi dan prospek risiko kredit pelanggan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×