ISU perbezaan pandangan antara asatizah dan artis mencetuskan pelbagai polemik yang sering mengundang perdebatan umum. Meskipun berniat baik, sikap segelintir pendakwah yang memilih hanya isu tertentu ketika memberikan teguran mengundang persoalan dalam kalangan selebriti.
Bagi mereka, pendakwah harus telus dan tidak hanya menjadikan golongan selebriti sebagai sasaran teguran, sedangkan apabila berlaku kontroversi membabitkan rakan seperjuangan, mereka memilih untuk membisu seribu bahasa.
Melontarkan pandangan terhadap isu tersebut, pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal berkata, sikap segelintir agamawan yang enggan bercampur dan melihat kerjaya seni sebagai pendorong dosa menyebabkan berlakunya jurang antara dua kelompok tersebut.
“Bagi segelintir pendakwah, artis ini pendorong dosa. Kita tidak boleh berfikir macam itu.
“Apa jaminan anak-anak kita kelak tidak akan bergelar artis?
“Adakah kerana kita ustaz, pendakwah mereka akan turut jalan sama? Tidak. Jadi, jangan pandang rendah seseorang itu” katanya.
Don juga mengharapkan golongan asatizah dan artis saling mengeratkan silaturahim dengan bersahabat untuk mencari reda Illahi, bukan saling menyalahkan.
“Artis adalah sahabat asatizah. Jangan pandang mereka sebagai orang berdosa, kita pula mulia. Artis pula jangan pandang teguran kami untuk menjatuhkan hukum. Itu salah.
“Bantu kami (para asatizah) untuk kenal dunia kalian. Kita figura masyarakat. Kita semua mahu menggapai satu garisan lurus untuk sama-sama berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.
GENG TA’ALIM
Membuka gelanggang bicara tentang program baharu Astro Oasis, Geng Ta’alim, terserlah keterujaan pada wajah pendakwah lulusan Universiti Al-Azhar itu. Bakal bersiaran bermula 5 September ini, Geng Ta’alim ada keistimewaannya.
Berkongsi cerita tentang penghijrahan ke arah kebaikan dengan lima selebriti pilihan, Don berkata, dia gembira dan teruja dapat menyelami isi hati serta bertukar pandangan dan ilmu dengan tetamu jemputan.
“Masing-masing ada cerita dan sejarah tersendiri. Apabila dapat senarai tetamu jemputan, saya dan team produksi mengkaji latar belakang mereka. Tetapi, cuma sebahagian kecil sahaja bercerita kisah lampau.
“Selebihnya, kita berkongsi pandangan berkaitan penghijrahan mereka. Ilmu yang mereka boleh kongsikan. Siapa mereka sebelum ini, kita tidak ambil kira. Kita sama-sama berhijrah,” katanya.
Ashraf Muslim, Saharul Ridzwan, Nabil Ahmad, Amar Ashraf dan Zaf VE merupakan antara barisan selebriti yang menjadi tetamu jemputan dalam program islamik 10 episod itu.
Setiap episod membawa tema dan pengajaran yang berbeza mengikut kisah masing-masing untuk dijadikan panduan hidup kepada orang ramai berdasarkan kalam Allah SWT.
Program dakwah yang menyelitkan kandungan dekat dengan jiwa raga setiap manusia itu juga memaparkan keindahan masjid ikonik di sekitar Lembah Klang dan Selangor, selain membawa penonton menghayati peninggalan sejarahnya.











