PETALING JAYA: AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) bakal kembali beroperasi di Terminal 4 (T4) Lapangan Terbang Changi, mulai 15 September ini.
Menurut syarikat itu, semua penerbangan yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia (kod penerbangan: AK), AirAsia Thailand (kod penerbangan: FD), AirAsia Indonesia (kod penerbangan: QZ) dan AirAsia Filipina (kod penerbangan: Z2) akan tiba dan berlepas dari Terminal 4.
“Jadual penerbangan dan waktu perlepasan serta ketibaan tidak akan terjejas oleh perpindahan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, tetamu akan dimaklumkan mengenai perubahan itu melalui e-mel dan SMS serta akan menerima maklumat penerbangan baharu melalui e-mel yang berdaftar.
Tambahnya, para tetamu disarankan untuk mengemas kini butiran untuk dihubungi bagi memastikan mereka menerima sebarang kemas kini terhadap penerbangan mereka.
Kaunter perkhidmatan AirAsia di Terminal 4 membabitkan Kiosk daftar masuk, Balai Berlepas, Baris 4; Kaunter daftar masuk bagasi secara kendiri, Balai Berlepas, Baris 4; Kaunter perkhidmatan, Baris 4 dan Kaunter daftar masuk berkumpulan, Baris 3.
“AirAsia menggalakkan semua tetamu untuk mendaftar masuk secara kendiri melalui airasia Super App sebelum tiba di lapangan terbang dan menggunakan pas masuk elektronik untuk menaiki penerbangan mereka.
“Perkhidmatan daftar masuk dalam talian tersedia dari 14 hari hingga 1 jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan,” jelas syarikat itu. – UTUSAN










