Scammer sembunyi muka ketika keluar duit di ATM

Scammer sembunyi muka ketika keluar duit di ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli sindiket penipuan atau scammer akan mencari jalan untuk menyembunyikan identiti masing-masing ketika mengeluarkan wang daripada akaun keldai yang disewa.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, modus operandi scammer termasuk memakai topi keledar atau topi bagi menyembunyikan muka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Kata sumber, perkara itu sekali gus menyukarkan pihak berkuasa dan bank mengenal pasti identiti scammer yang mengeluarkan wang hasil aktiviti jenayah siber.

“Tindakan ahli sindiket memasukkan duit di dalam akaun keldai sebelum dipindahkan ke akaun yang sebenar akan menyukarkan tugas polis mengesan penjenayah terbabit.

“Kebiasaannya, tangkapan hanya akan dilakukan terhadap pemilik akaun keldai. Majoriti daripada mereka yang ditahan mendakwa teraniaya dan tidak mengetahui akaun bank miliknya disalah guna pihak tidak bertanggungjawab,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, kata sumber itu, sebanyak 133,656 akaun keldai melibatkan bank utama negara dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijadikan sebagai keldai akaun oleh sindiket penipuan dalam talian sejak 2016 sehingga Julai lalu.

Kata sumber itu, sepanjang tempoh itu, paling banyak dikesan adalah pada tahun lalu iaitu sebanyak 29,706 akaun dikenal pasti diikuti 2020 dengan 21,660 akaun.

“Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, sebanyak 16,017 akaun keldai dikesan PDRM diikuti 2019 (18,509 akaun) 2018 (14,184 akaun) 2017 (14,182 akaun) dan 2016 (12,806 akaun).

“Berdasarkan statistik tersebut, terdapat peningkatan akaun keldai kerana masih ada lagi pemilik akaun terpedaya selain desakan mencari sumber kewangan dengan cara mudah menyumbang kepada ‘kerjasama’ pemilik akaun dengan sindiket penipuan tanpa mengira peringkat umur dan latar belakang,” jelasnya.

Kata sumber, tiada limit jumlah wang mangsa yang akan dimasukkan ke dalam akaun keldai selagi akaun berkenaan boleh digunakan scammer.

Jelasnya, ada akaun keldai yang disewa akan dimasukkan RM1,000 sehingga RM5,000 oleh mangsa, selain terdapat juga transaksi dilakukan mencecah RM200,000 sehingga RM1 juta bergantung kepada modus operandi yang digunakan scammer untuk menipu mangsa.

“Cuma, kepantasan mangsa membuat laporan polis selepas menyedari mereka ditipu menentukan sama ada duit mereka yang dimasukkan dalam akaun keldai sempat diselamatkan atau tidak.

“Jika ada laporan, sudah pasti pihak polis akan bekerjasama dengan pihak bank untuk membekukan akaun keldai berkenaan serta merta sebelum wang berkenaan dikeluarkan atau dipindahkan ke akaun lain,”ujarnya.

Dalam pada itu, kata sumber, sebanyak 20,230 pemilik akaun keldai telah ditahan PDRM pada 2021 sehingga Julai lalu.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 18,564 pemilik akaun ditahan pada 2021 manakala 1,666 lagi diberkas awal tahun ini sehingga Julai lalu.

Menurut sumber lagi, pelbagai usaha sudah lama dilaksanakan PDRM dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menghalang akaun keldai ini berleluasa.

Tegas beliau, mereka (penama atau individu) yang menjadi keldai akaun ini berpotensi untuk disenaraihitamkan di bank-bank meskipun kes mereka telah selesai dan dituduh di mahkamah.

Bukan itu sahaja, pemilik akaun keldai juga akan menghadapi masalah untuk membuka akaun bank meskipun mereka bagi tujuan pembayaran gaji atau lain-lain perkhidmatan yang memerlukan akaun bank.

“Jika mereka boleh buka akaun pun, mereka perlu mendapatkan kebenaran polis sebelum, mereka menasihati pihak bank untuk mengehadkan transaksi akaun itu yang mana ia hanya boleh dilakukan di kaunter sahaja.

“Selain itu, mereka juga tidak akan diberikan kemudahan kad ATM dan perkhidmatan perbankan internet (online banking),” jelasnya.

Justeru itu, kata sumber, masyarakat diingatkan supaya tidak mendedahkan maklumat bank dan peribadi lain selain jangan mudah menerima tawaran membantu melakukan pemindahan wang ke akaun tertentu.

“Selagi ada permintaan (keldai akaun), selagi itu kegiatan ini akan terus berleluasa seterusnya menyebabkan ramai menjadi mangsa dan kehilangan wang simpanan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×