“Bukan sahaja pihak kerajaan bahkan ahli politik, artis, aktivis mahu pun agamawan, semuanya perlu memainkan peranan dalam memupuk semangat cintakan tanah air,” ujar Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, 35, Timbalan Menteri Perpaduan Negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wan Fayhsal atau lebih dikenali Waf merasa bimbang melihatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara ini kian pudar.
“Memperoleh kemerdekaan itu suatu proses yang sangat payah, maka rugilah kalau kemerdekaan yang dikecapi 65 tahun itu sekadar tercatat dalam lembaran sejarah tanpa penghayatan,” tambahnya.
Sejak setahun lebih memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Fayhsal sentiasa berusaha mencari jalan untuk mengetengahkan dan menyelesaikan isu-isu masyarakat, terutamanya membabitkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum.
Dia yang pernah mewakili pasukan Ragbi Kuala Lumpur pada awal 2000-an melihat bahawa Rukun Tetangga (KRT) sebagai wadah untuk menghubungkan setiap bangsa dalam sesebuah kawasan perumahan.
“KRT harus diturut serta oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengenal bangsa dan agama. Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana perpaduan di kawasan perumahan adalah permulaan perpaduan di peringkat nasional,” katanya.
Sambutan Hari Merdeka atau Hari Malaysia katanya, bukan sekadar mengibarkan jalur gemilang dan melaungkan slogan Merdeka, tetapi lebih kepada mengoreksi sejarah lampau, lalu berusaha untuk memperbaikinya dengan merancang gerak kerja.
“Bayangkan, dah hampir hujung Ogos, berapa banyak kereta yang sudah meletakkan Jalur Gemilang di kenderaan mereka? Berapa banyak premis dan kawasan perumahan mengibarkan bendera Malaysia?,” katanya.
Wan Fayhsal turut menzahirkan kekecewaannya apabila melihat bendera Malaysia yang sudah lusuh, koyak dan buruk masih dikibarkan di pelbagai kawasan, terutamanya di restoran.
“Kali ini, memang saya nekad untuk bertegas dalam memastikan simbol negara kita dihormati, ini tugas saya, tanggungjawab saya,” katanya yang sebelum ini pernah mencadangkan pihak kerajaan untuk memotong gaji Menteri dan Timbalan Menteri sebagai langkah membantu rakyat yang terkesan dek ekonomi yang tidak menentu.
Wan Fayhsal turut mencadangkan komunikasi yang lebih kerap harus dijalankan oleh setiap ketua agama dan pemimpin sesebuah komuniti.
“Dialog merupakan kaedah sangat berkesan kerana di situlah kita boleh meluahkan segala salah faham dan cuba memperbaiki lompong-lompong yang menyebabkan masyarakat berbilang kaum di negara ini bertelagah,” katanya.
Bapa kepada dua orang anak ini berharap dapat menonton lebih banyak drama, filem dan program-program berkaitan perpaduan di kaca TV.
“Filem Mat Kilau sebenarnya telah membantu menaikkan semangat patriotisme dalam kalangan anak bangsa kita, oleh itu, amatlah rugi sekiranya semangat cintakan tanah air itu hanya bermusim.
“Sepatutnya aura dan semangat negara itu harus diteruskan dengan membawa rakyat menonton lebih banyak filem dan dokumentari tokoh negara kita,” ujarnya.
Wan Fayhsal sama sekali tidak menafikan bahawa sikap sebahagian ahli politik yang tidak sensitif terhadap isu-isu membabitkan negara dan bangsa sedikit sebanyak telah menyebabkan masyarakat berbilang kaum berpecah-belah dan hidup dalam keadaan prejudis antara satu sama lain.
“Kalau nak berpolitik tu tak ada masalah, tapi janganlah sampai mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan perpaduan negara. Ahli politik kena bertindak sebagai seorang pemimpin yang boleh dijadikan rujukan dan contoh teladan masyarakat,” jelas Ketua ARMADA Nasional dan Ketua Bahagian Bersatu Titiwangsa itu.
Tahun ini kalau kita perhatikan, banyak pencapaian yang memberansangkan oleh atlet negara.
Pencapaian ini harus dijadikan sebagai antara faktor utama mengapa sambutan Merdeka kali ini harus dibuat dengan lebih meriah.
“Saya akan usahakan lebih banyak program perpaduan dan kesedaran patriotik di negara kita. Tumpuan lebih wajar diberikan kepada golongan belia kerana mereka adalah masa depan negara.
“Persediaan rapi untuk golongan belia harus dijalankan dengan segera agar kita tidak menyesal kelak,” tegas Wan Fayhsal.
Ternyata cintakan negara itu penting kerana seseorang yang patriotik sanggup mengorbankan nyawa dan harta demi mempertahankan tanah air daripada ancaman musuh luar.











