“SAYA mahu melihat anak-anak membesar depan mata,” itu jawapan penyanyi, Ruhil Amani yang sekian lama menghilang dari radar seni.
Katanya, dia tidak pernah merancang berhenti menyanyi. Namun, dia akui perlu masa untuk membesarkan anak-anak dan terpaksa ‘berehat’ seketika daripada dunia seni.
“Selepas sembilan bulan bernikah, saya hamil anak pertama. Bila berkeluarga ini, tumpuan hidup kita berubah.
“Saya mahu melihat anak-anak membesar depan mata. Tapi, saya tidak pernah merancang berhenti menyanyi.
“Bila anak-anak sudah bersekolah, saya mula ambil tawaran menyanyi. Tetapi itulah, sebelum ini terpaksa perlahankan sebab anak-anak memerlukan perhatian,” katanya.
Ruhil bukan nama asing dalam industri muzik tanah air. Penyanyi berusia 47 tahun itu berada di puncak kerjaya sekitar pertengahan 90-an .
Lahir di Kuala Lumpur, anak anggota polis ini dibesarkan dalam keluarga yang amat menghargai seni.
Bapanya, Hussein Ali ialah pemuzik yang bersahabat baik dengan legenda tanah air seperti seperti Datuk M.Nasir, Datuk Ramli Sarip, Nasir Jani, Kopratasa, Manan Ngah, S. Amin Shahab, Wan Zul dan ramai lagi.
Bakat nyanyian Ruhil terserlah seawal usia tiga tahun apabila dia diwawancara pelakon, A.R Badul dan Fauziah Nawi dalam sebuah program radio, Ragam Penghibur. Ruhil yang secara tidak sengaja naik ke atas pentas kerana mengejar belon, menyanyikan lagu Mimpi Semalam.
Ketika berusia 10 tahun, Ruhil terlibat dalam projek album kanak-kanak yang diterbitkan M.Nasir. Apabila berusia 13 tahun, dia tampil dengan album pertama, Di Kamar Sepi juga terbitan M. Nasir.
Perjalanan seninya selepas itu menjadi semakin rancak dengan kelahiran lima album, termasuk Anak Dunia pada 1989, Ruhil dan Metal Child (1990), Duo-Duo dan Cinta Pertama (1991) serta Percaya (1997).
Ruhil mendirikan rumah tangga dengan pemain gitar terkenal, Jamil Wilson pada 2003. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ruhil Ariana Wilson dan Raayan Alexander Wilson.
Tahun ini, Ruhil merancang untuk kembali dalam dunia nyanyian dan sedang giat menyiapkan lagu baru untuk mengubati rindu peminat.
“Harap masih ada rezeki dan orang masih mahu melihat saya menyanyi.
“Sekarang saya sudah ada masa untuk aktif semula. Anak sulung kini menyambung pelajarannya di sebuah kolej swasta, manakala yang kedua sudah masuk sekolah menengah.
“Jadi, masa untuk menyanyi semula itu dapat saya peruntukan,” ujarnya.
Rindu hiburkan peminat
Memahami rindu peminat, Ruhil berkata, dia tidak akan sesekali meninggalkan dunia seni kerana menghargai pengorbanan peminat.
Katanya, dia akan berbahagia sekiranya terus berpeluang menghiburkan peminat dan menghadiahkan mereka dengan lagu baru.
“Hidup saya sejak melangkah menjadi penyanyi, semuanya melibatkan muzik dan nyanyian. Balik sekolah, jadual padat dengan aktiviti nyanyian. Itulah kehidupan remaja saya.
“Saya gembira hiburkan peminat. Tersentuh hati bila mereka yang tidak ada wang, sanggup jalan kaki tengok persembahan saya.
“Jadi, cara saya membalas sokongan mereka adalah dengan memberikan yang terbaik dan tidak tinggalkan dunia seni,” katanya.
Kata penyanyi Kawan itu lagi, dia enggan mengecewakan peminat yang selama ini menyokongnya.
Katanya, ketika kerap membuat persembahan dahulu, dia cukup memahami kesukaran dilalui peminatnya semata-mata untuk melihatnya menghiburkan mereka.
“Saya tidak mahu kecewakan peminat. Mereka telah berkorban, wang dan tenaga kerana minat. Membuat mereka gembira, walaupun hanya satu jam setengah sudah cukup membahagiakan saya.
“Itu sebab mengapa saya menyanyi. Hidup kita berliku, muzik pula menggembirakan kita. Jadi, saya mahu terus menggembirakan peminat dengan nyanyian dan persembahan saya,” tambahnya.
Hasrat kembali cergas
Mengajak bercerita tentang kesihatan, Ruhil memaklumkan, dia kini secara perlahan-lahan kembali bergerak aktif.
Pengalaman tergelincir ketika mendaki Gunung Batur di Bali, Indonesia membuatkan penyanyi itu tidak dapat melakukan aktiviti terlalu lasak.
“Kejadian itu berlaku, beberapa tahun lalu. Ketika turun gunung, saya tergelincir dan jatuh. Saya pula lasak, jadi saya hanya anggap cedera ringan.
“Namun, selepas itu, tumit saya mula alami kesakitan. Kesannya sehingga hari ini, tetapi saya tidak pernah melakukan pembedahan,” ceritanya.
Kongsi Ruhil lagi, gara-gara kecederaan tersebut, dia perlu berhati-hati dan tidak lagi melakukan aktiviti yang terlalu berat.
“Saya pernah cuba berlari, tetapi selepas itu kaki menjadi bengkak. Jadi, saya tak berani lagi (berlari).
“Saya mahu kembali cergas. Apa yang boleh saya lakukan adalah dengan banyakkan berjalan.
“Walaupun prosesnya agak perlahan, saya yakin ia akan pulih, insya Allah,” jelasnya.
Kata Ruhil lagi, tahun ini dia mahu kembali dengan lagu baru. Namun tegasnya, dia perlu benar-benar bersedia sebelum bertemu peminat.
“Saya akan keluarkan lagu baru dan kembali membuat persembahan pentas.
“Tentunya, semua itu memerlukan persediaan, lebih-lebih lagi dari segi fizikal dan mental.
“Alhamdulillah, saya sudah mula perlahan-lahan pergi ke gimnasium untuk mendapatkan kembali stamina,” kongsinya lagi.









