Kem PLKN macam rumah hantu, 62 pengusaha muflis - Utusan Malaysia

Kem PLKN macam rumah hantu, 62 pengusaha muflis

Pemandangan dari udara kawasan Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Desa Rimba, Chenderoh di Kuala Kangsar dipenuhi semak-samun dan rosak ketika tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebahagian 62 pengusaha kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada 2018 muflis manakala yang lain me­nunggu tindakan bankrap se­lepas menanggung beban hu­tang yang besar akibat pemansuhan program tersebut.

Situasi berlaku apabila pemilik kem terbabit gagal menjelaskan hutang bank selepas me­labur sehingga RM12 juta untuk menyediakan sebuah kem untuk dijadikan pusat latihan kepada program yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Februari 2004.

Dianggarkan, RM984 juta dibelanjakan untuk membina keseluruhan 82 kem PLKN di seluruh negara yang kini sebahagian besarnya menjadi projek ‘gajah putih’ walaupun ada usaha daripada kerajaan untuk ‘menghidupkannya’ semula dengan menyewakan kem tersebut kepada pihak lain.

Ketika ini terdapat 20 kem disewakan untuk kegunaan Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala 62 kem beroperasi pada skala kecil termasuk terbiar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Kem PLKN Eco Millenium, Beranang, Kol. (B) Othman Yaakob berkata, apabila program PLKN dimansuhkan, ada sebahagian pemilik menggunakan kem untuk pasaran terbuka namun, kadar sewaannyaterhad.

“Di kawasan pedalaman, kebanyakan kem terbengkalai dan ‘hangus’ begitu sahaja. Bayangkan modal yang dibelanjakan sehingga RM12 juta untuk buat kem PLKN, iaitu fasa pertama (2003) RM3 hingga RM4 juta dan fasa kedua (2004) RM8 juta.

“Kita buat ikut spesifikasi yang diinginkan kerajaan dan ada pemilik yang tanggung hutang sehingga sekarang. Lebih parah ada yang muflis akibat gagal membayar pinjaman.

“Ramai pemilik yang tidak dapat pulangan semula. Rata-rata pemilik guna tanah sendiri seluas 12.14 hektar untuk bina kem dan akhirnya terbengkalai. “Sekarang ada 20 kem yang disewa kerajaan termasuk lima di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Barisan Nasional

Program PLKN diperkenalkan pada 16 Februari 2004 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memperkasa nilai jati diri dan kenegaran belia namun, pada 2018 kerajaan PH yang mengambil alih tampuk peme­rintahan negara memutuskan untuk memansuhkan program berkenaan.

Mesyuarat Kabinet pada 13 Ogos 2018 memutuskan untuk memansuhkan PLKN dan Biro Tatanegara (BTN) serta-merta dan perkara itu diumumkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan ketika bersama Pakatan Harapan.

Sejak 2014 hingga 2018, sebanyak 15 siri PLKN dianjurkan dengan seramai 1.44 juta belia berusia 18 tahun dipanggil menyertainya dan daripada jumlah itu seramai 926,999 hadir de­ngan 506, 061 daripadanya me­rupakan pelatih lelaki dan selebihnya 420, 938 adalah pelatih wanita.

Mengulas lanjut, Othman berpandangan, kerajaan sepatutnya terus melaksanakan program PLKN kerana ia bagus untuk membentuk jati diri remaja sekali gus membentuk anak muda yang mempunyai semangat cintakan tanah air.

“Rugi jika kita biarkan begitu sahaja selepas segala aspek sudah tersedia bagi menjayakan program ini dan sangat tidak masuk akal jika ada yang katakan program ini merugikan,” kata beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×