Kampung Budaya Koisaan ibarat muzium hidup - Utusan Malaysia

Kampung Budaya Koisaan ibarat muzium hidup

Demonstrasi menggunakan alat muzik tradisi, seruling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kampung Budaya Koisaan (KCV) kelihatan sama seperti muzium menempatkan rumah-rumah tradisi yang lain.

Namun, kepelbagaian aktiviti disediakan menyebabkan kampung budaya ini tampil sebagai ‘muzium hidup’ yang mampu menonjolkan keunikan budaya sebahagian suku kaum terdapat di Sabah.

Kampung budaya yang menempatkan 11 rumah tradisi di pekarangan Hongkod Koisaan, Penampang ini memberi peluang kepada pengunjung mengetahui tentang budaya kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).

Antara rumah tradisi itu ialah Rumah Tradisi Kadazan Penampang; Bisaya, Beaufort; Tindal, Kota Belud; Liwan, Ranau; Rumah Panjang Rungus, Kudat; Lotud, Tuaran; Kadazan, Papar; Tuhawon, Tambunan dan Murut Lansaran, Tenom.

Kebanyakan struktur rumah dibina menggunakan buluh dan beratapkan daun nipah bagi mengekalkan keaslian seni binanya.

Di dalamnya pula, terdapat pelbagai maklumat mengenai seni bina rumah, pameran muzik tradisional seperti guling tangan, gong serta pameran permainan tradisi.

Pengerusi KCV, Sairah Indan berkata, pembinaan rumah-rumah tradisi yang diselaraskan oleh Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) itu, dapat membantu memelihara budaya dan adat tradisi masyarakat KDMR.

“Perubahan zaman menyebabkan adat tradisi masyarakat KDMR semakin pupus, maka usaha sebegini diambil untuk membolehkan budaya tradisi kita terus terpelihara dan tidak hilang ditelan zaman,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jika dahulu sepanjang bulan Mei iaitu bulan Kaamatan pengunjung ke KCV boleh mencecah ratusan ribu orang namun, pada bulan-bulan berikutnya suasana KCV begitu sunyi tanpa sebarang aktiviti.

TARIKAN PELANCONGAN
Namun, sejak 2018, KCV mula dibuka kepada pelawat dan setahun kemudian, KCV menerima Persijilan Jaminan Kualiti Menyeluruh Malaysia (MyTQA) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan muncul sebagai destinasi mesti dilawati.

Pengiktirafan memenuhi taraf antarabangsa itu membantu mempromosikan KCV sebagai destinasi kunjungan pelancong.

Di KCV, pengunjung bukan hanya dapat melihat rumah-rumah tradisi malah, mereka berpeluang menyaksikan pameran adat perkahwinan, permainan tradisi, demonstrasi membuat minuman seperti tapai dan makanan tradisi serta cara membuat kraftangan menggunakan manik.

Terdapat juga demonstrasi menumbuk padi serta menghidupkan api menggunakan peralatan tradisi. Pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan tarian tradisional seperti Sumazau.

“Biasanya persembahan tarian diadakan jika ramai pengunjung dan ada tempahan berkumpulan menerusi ejen-ejen pelancongan. Ini kerana persembahan sebegini memerlukan kos dan tenaga kerja yang ramai.

“Pada masa ini pakej pelancongan ditawarkan berjumlah RM75 bagi warganegara dan RM90 untuk pelancong asing. Sebelum pandemik, biasanya pakej yang lengkap dengan pemandu pelancong berharga antara RM70 hingga RM120,” katanya.

Namun, sepanjang pandemik Covid-19, semua aktiviti pelancongan di KCV diberhentikan sementara waktu dan hanya dibuka semula pada awal Disember.

Selain menjadi destinasi kunjungan pelancong, kampung budaya ini juga berperanan sebagai pusat pembelajaran bagi pelajar sekolah dan universiti untuk mendapatkan maklumat mengenai budaya KDMR dan rumah-rumah tradisi.

INSTITUSI BOBOLIAN
Apabila masyarakat KDMR mula mempunyai pegangan agama masing-masing sama ada Islam mahupun Kristian, amalan dan kepercayaan tradisi semakin dilupakan.

Tiada lagi upacara tradisi dijalankan oleh Bobolian, iaitu individu yang mengetuai upacara adat istiadat bagi mendapatkan keberkatan atau memohon keampunan apabila perkara buruk menimpa masyarakat KDMR.

Kini, Bobolian hanya dipamerkan melalui persembahan kebudayaan semasa Pesta Kaamatan.

“Amalan Bobolian ini semakin pupus kerana kaum KDMR sudah mempunyai agama masing-masing. Jadi, jika tiada institusi sebegini, sejarah dan adat tradisi diamalkan nenek moyang kita akan pupus.

“Dengan adanya institusi ini, ia boleh berperanan sebagai pusat rujukan dan pembelajaran untuk generasi muda belajar tentang adat tradisi suku kaum KDMR,” katanya.

Selain itu, Mahkamah Anak Negeri (MAN) juga diwujudkan bagi mengenakan denda kepada mana-mana individu yang menghina atau melanggar undang-undang adat suku Orang Asal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×