Kugiran Masdo kukuhkan posisi di Indonesia - Utusan Malaysia

Kugiran Masdo kukuhkan posisi di Indonesia

MASDO berharap lebih banyak band tempatan mendapat peluang bertapak di Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘The Beatles’ alaf baharu. Itulah yang dapat diungkapkan tatkala melihat penampilan Kugiran Masdo yang memperjuangkan genre muzik pop klasik dengan sentuhan lagu Melayu era 60-an.

Memiliki pesona tersendiri, penerimaan meluas peminat terhadap muzik yang diperjuangkan mengukuhkan lagi posisi band tempatan itu untuk terus meneroka peluang memahat nama lebih utuh.

Ia bukan angan-angan kosong apabila lagu mereka, terutama Dinda yang dilancarkan pada 2019 kerap dijadikan sebagai muzik latar di aplikasi popular, TikTok.

Populariti lagu itu juga membawa mereka merentas sempadan bersama misi memperluaskan pengaruh di negara jiran. Terbaharu, kugiran itu berjaya melunaskan siri jelajah di Indonesia bagi menguatkan lagi pengaruh mereka di negara tersebut.

Misi itu menjadi kenyataan apabila mereka berpeluang menjejakkan kaki di tiga kota di republik itu iaitu Jakarta, Bandung dan Bekasi, pada bulan lalu.

Festival Muzik Waktu Indonesia Berdansa di Jakarta adalah pengalaman pertama mereka bertemu peminat baharu. Selain itu, Masdo turut meneruskan siri jelajah di Festival District di Bekasi dan Masdo Goes To School di SMK Negeri 15 Bandung.

“Kami manfaatkan peluang itu untuk memantapkan lagi nama Masdo di Indonesia. Mereka tertarik dengan lenggok bahasa dan cara nyanyian kami, mungkin kerana sudah lama tidak mendengar lagu yang seperti kami bawakan.

“Lagu Dinda contohnya, mengingatkan kepada nama orang di sana. Ia membuatkan lagu terbabit dekat dengan mereka. Jika di negara kita, perkataan itu lebih kepada panggilan seperti adik atau sayang,” katanya.

Kugiran Masdo juga menzahirkan perasaan terharu apabila peminat tetap setia menonton persembahan mereka, meskipun ketika itu hujan sedang membasahi.

“Penonton tidak berganjak, malah tetap memberikan sokongan. Kesetiaan mereka itu membuatkan kami terharu kerana siapalah Masdo di sana.

“Tamat sahaja persembahan, kami menangis di belakang pentas. Suasana itu pernah kami rasai ketika awal mencipta nama di sini. Alhamdulillah, kami berpeluang merasai kembali ketika beraksi di Indonesia,” katanya.

‘Masih relevan berimej seperti ini’

Masdo mengharapkan, kejayaan mereka menembusi pasaran di negara itu dapat diikuti band tempatan lain untuk turut mengukir jejak yang sama.

“Kami berharap ia menjadi jambatan buat band tempatan untuk lebih rancak mencipta peluang di negara seberang. Jangan puas kalau setakat popular di negara sendiri.

“Berdasarkan pengalaman, peminat di sana sebenarnya terbuka dengan muzik kita. Penerimaan ini mungkin menjadi jambatan yang mengukuhkan lagi jalinan muzik kita dengan Indonesia,” katanya.

Jika diperhatikan dari segi pemakaian, penampilan mereka saling tidak tumpah seperti digayakan The Beatles. Masih mengekalkan gaya sama, Masdo memberitahu, mereka tiada perancangan untuk mengubah penampilan sedia ada.

“Muzik dan fesyen bergerak seiring. Bagaimanapun, kita tidak tahu apa terjadi dalam 10 tahun akan datang. Tetapi, buat masa ini, imej kami ini masih relevan dengan muzik yang kami bawakan,” ujarnya.

Kugiran Masdo ditubuhkan pada tahun 2015 dianggotai Ali sebagai vokalis, Azhan Ahmad (dram), Putu Ceri (bass dan vokal) dan Asmawi (gitar dan vokal).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×