KELAHIRAN album digital pertama, Infinity bagaikan memberi isyarat pacuan kumpulan Floor 88 akan lebih laju. Mereka seperti bersedia untuk mengembangkan lagi sayap seni, bukan setakat di tanah air sendiri sahaja.
Mereka sudah mula mengintai pasaran negara seberang, Indonesia. Lagu Hutang kini digilai oleh peminat muzik di sana. Malah, populariti dan kelompok peminat mereka juga semakin berkembang.
“Kalau diikutkan memang sudah ada beberapa penganjur menawarkan siri jelajah berskala kecil untuk kami di beberapa daerah di Indonesia. Tetapi, kami tak mahu datang dengan setakat lagu Hutang sahaja.
“Takut nanti peminat di sana terpinga-pinga bila nyanyi lagu lain. Sekarang, kami dalam fasa untuk memperkenalkan lagu lain juga. Kalau Hutang boleh diterima, kami yakin lagu lain juga boleh.
“Selari dengan pelancaran album digital Infinity ini juga, kami berharap peminat tempatan dan seberang lebih mudah mengakses lagu yang ada,” kata Ayie selaku vokalis Floor 88.
Membariskan 10 lagu antaranya Zalikha, Roadblock Hatiku (duet bersama Baby Shima), Yang Benar dan single baharu, Sahabat, Infinity adalah himpunan karya terbaik Floor 88 sepanjang lima tahun dalam industri seni.
“Infinity membawa maksud tiada batasan. Kami melihat karya dan muzik Floor 88 juga begitu. Kami tidak mahu statik dengan satu genre sahaja. Kami cuba untuk mempelbagaikan muzik Floor 88.
“Dalam album ini juga, kami release single baharu, Sahabat. Lagu ini memang lahir tepat pada waktu sebagai penghargaan untuk persahabatan kami yang didoakan supaya kekal hingga akhir usia,” kata pemain keyboard, Eric Fuzi.
Selain Ayie dan Eric, Floor 88 dianggotai juga Achoi (gitar utama), Falique (bass), Akram (dram dan Amir (gitar kedua).
DUET RAFFA AFFAR
Dalam usaha melebarkan sayap ke negara seberang, Floor 88 bakal berkolaborasi dengan penyanyi sensasi, Raffa Affar menerusi sebuah lagu duet. Namun, mereka masih menunggu waktu sesuai untuk proses rakaman.
“Raffa adalah pilihan yang tepat. Kami juga sudah lama merancang untuk berduet dengan artis Indonesia. Lagu sudah ada, cuma kami menunggu waktu sesuai untuk berjumpa dan merakamkan lagu bersama.
“Bukan tak mahu rakam berasingan kerana proses itu lebih mudah, sebaliknya kami lebih selesa ke studio rakaman bersama untuk mendapatkan keserasian dari segi feel lagu,” katanya.
Ditanya tentang kontroversi melibatkan Raffa apabila penyanyi itu dilabel sebagai perosak lagu, Ayie mempunyai pendapat sendiri.
“Bagi kami, Raffa memiliki gaya nyanyian tersendiri dan vokal yang menarik. Kami juga yakin dengan bakat serta kemampuannya. Kalau nak label dia perosak lagu, saya tak setuju.
“Saya sendiri ada momen terkucil sana sini. Kita sama-sama belajar,” katanya.
Raffa sebelum ini menerima kecaman hebat netizen apabila dikatakan merosakkan lagu yang dinyanyikan semulanya seperti Buih Jadi Permaidani dan Mencari Alasan nyanyian asal kumpulan Exists dan Kris.











