Daripada pokok getah kepada nanas MD2 - Utusan Malaysia

Daripada pokok getah kepada nanas MD2

Sumontri Aisen bersama isterinya Yew Zhi Shin menunjukkan buah nanas MD2 yang diusahakan mereka di Naka, Kuala Nerang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGUSAHAKAN tanaman getah seluas 28 hektar sejak beberapa tahun lalu bukan usaha kecil, namun melihat hasil yang kurang memuaskan memerlukan sesuatu perlu dilakukan untuk berjaya dalam bidang pertanian.

Tidak mahu terus ‘menuai rugi’, Sumontri Aisen mula mencari alternatif untuk memanfaatkan tanah ladang seluas itu dengan tanaman lain yang lebih berpotensi menjana pendapatan lumayan.

Maka, setelah melihat permintaan tinggi kepada bekalan nanas, pemuda yang baru menginjak usia 32 tahun itu secara perlahan-lahan mula menukar tanaman getah kepada nanas jenis MD2.

Perubahan besar itu ternyata berbaloi bila menunjukkan hasil yang baik. Lebih-lebih lagi, tidak mudah sebenarnya beralih daripada tanaman getah yang secara tradisional ditanam majoriti penduduk di Naka, Kuala Nerang atau seluruh Kedah kepada nanas.

“Harga jualan getah jatuh teruk, pernah sehingga RM1.40 sekilogram dan kami juga berdepan kesukaran mendapatkan tenaga kerja bagi ladang seluas itu. Jika berterusan berdepan situasi itu mungkin sukar untuk terus berada dalam bidang pertanian.

“Jadi sekitar 2017, saya sudah terfikir untuk cuba menanam nanas premium MD2 di sini sebelum usaha itu dimulakan secara serius pada tahun seterusnya.

“Saya memilih tanaman nanas selepas terbaca artikel yang menyatakan potensinya dalam menjana pendapatan untuk bidang pertanian,” kata Pengurus Montri 168 Farm itu kepada Utusan Malaysia.

Sebagai permulaan, Sumontri mendapatkan kira-kira 30,000 anak pokok nanas varieti itu termasuk yang diberikan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) untuk ditanam di tanah berkeluasan 1.3 hektar.

Hanya selepas 16 bulan iaitu satu pusingan tanaman berkenaan, Sumontri merasakan dia mengambil keputusan tepat setelah ‘mengorbankan’ tanaman getah apabila mula menuai hasil yang memuaskan.

“Sebanyak 30,000 buah nanas MD2 pertama yang ditanam saya menjadi dan kesemuanya habis dijual dalam masa seminggu. Kebetulan pula ia dituai dekat dengan tarikh sambutan Tahun Baharu Cina tahun lepas.

“Lebih 10 tahun tanam getah, tak banyak hasil yang diperolehi berbanding dengan nanas. Rupa-rupanya tanam nanas lebih mudah termasuk dari segi penjagaannya,” katanya. Beliau dibantu isteri, Yew Zhi Shin bagi kerja-kerja pengurusan dan kewangan.

Tanah mineral beri kemanisan
Melihat pulangan sebegitu rupa, Sumontri tidak teragak-agak meluaskan lagi tanaman nanas tersebut yang kini sudah menjangkau keluasan sehingga empat hektar.

Sudah ada tujuh tempat yang dahulunya ditanam getah, kini bertukar menjadi ladang nanas termasuk tiga di Kampung Changdeng dan selebihnya di sekitar Pekan Naka sendiri.

Sumontri meletakkan sasaran menukar sepenuhnya baki 22 hektar ladang getah kepada tanaman nanas dalam tempoh lima tahun akan datang agar bukan sahaja menjana pendapatan lebih lumayan tetapi dapat menggaji lebih ramai pekerja berbanding enam orang ketika ini.

Sementara itu, berbanding di Johor yang mana nanas ditanam di atas tanah gambut, Sumontri beruntung kerana tanah mineral di bumi Kedah memberi kelebihan kepada tanaman nanasnya.

“Apabila diukur rasa manis gula nanas MD2 yang ditanam di tanah mineral ini, ternyata kadar Brix yang tercatat lebih tinggi pada bahagian atas buah dan lebih manis apabila diuji pada bahagian tengah buah.

“Malah, nanas MD2 ini juga boleh disimpan lebih lama dan amat sesuai untuk tujuan eksport memandangkan permintaannya di pasaran amat tinggi berbanding jenis nanas lain,” katanya yang turut memiliki pembekal di seluruh Kedah.

Buah-buah segar yang boleh dituai di ladangnya pada setiap bulan membolehkan stok bekalan nanas MD2 sentiasa ada bagi menampung permintaan termasuk jualan terus dari ladang.

Ladangnya turut memiliki Sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) untuk sektor tanaman daripada Jabatan Pertanian. Malah Sumontri dan isteri, sering mengikuti kursus berkaitan anjuran LPNM, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta NCER Malaysia.

Selain mengusahakan ladang sendiri, Sumontri turut bercita-cita memiliki pusat timbang nanas sendiri bagi mengumpulkan tanaman itu yang turut diusahakan penduduk kampung lain agar sama-sama meraih pendapatan lebih baik.

“Saya tidak menyesal beralih daripada tanaman getah kepada nanas. Ia bukan sahaja menjanjikan pulangan lumayan tetapi proses penjagaan juga tidak rumit.

“Saya berterima kasih kepada pelbagai pihak terutamanya agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat dan setempat yang banyak membantu dan memberi sokongan kepada Montri 168 Farm selama ini,” katanya.

Baja Supornik hasilkan buah berkualiti tinggi
DALAM pada itu, penggunaan baja turut memainkan peranan kepada hasil tanaman sama ada buah-buahan atau sayur-sayuran.

Memiliki produk baja sendiri turut memberi kelebihan kepada Sumontri Aisen apabila ibunya, Khoo Ah Luan yang bersara di Jabatan Pertanian memperkenalkan baja organik yang dinamakan Supornik sejak 2018.

Menurut Ah Luan yang juga Pengasas Supornik 168 Enterprise, baja tersebut didatangkan dalam bentuk cecair dan amat berkesan kerana ia dirumus khas untuk semua jenis pokok.

“Supornik menggunakan sepenuhnya kandungan organik tanpa sebarang campuran kimia mahupun najis haiwan. Ramai pelanggan memberi maklum balas positif apabila pertama kali mereka menggunakan baja ini.

“Mula-mula dahulu hanya sekitar 20 orang pembeli, kini nilai jualan baja Supornik mencecah RM150,000 setahun apabila ia dipasarkan secara meluas termasuk secara dalam talian,” katanya ketika ditemui.

Ah Luan berkata, terdapat empat saiz ditawarkan kepada pelanggan iaitu botol berkapasiti 250 milimeter (ml), 500ml, serta masing-masing satu dan empat liter yang dijual antara RM20 sehingga RM240 sebotol.

Kadar bancuhan hanya sekitar 5ml bersama satu liter air yang boleh disembur kepada kira-kira 40 pokok.

“Tak kira saiz pokok boleh guna baja ini. Pokok yang bersaiz lebih besar hanya perlu tambah sukatan. Ia juga boleh membawa kesuburan kepada tanah selain menguatkan sistem akar disamping menggalakan pertumbuhan pokok dan buah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×