PETALING JAYA: Peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, Kumpulan MR D.I.Y. (M) Berhad menawarkan tawaran hebat buat rakyat Malaysia untuk rangkaian produk lebih luas, bersempena kejayaannya mempunyai 1,000 cawangan sehingga kini.
Bersempena pencapaian hebatnya itu, Kumpulan MR D.I.Y. menawarkan diskaun sehingga 40 peratus ke atas lebih 60 produk di MR D.I.Y. dan permainan serta barangan F&B di cawangan MR. DOLLAR dan MR.TOY sehingga 31 Ogos ini.
Ketua Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh berkata, ia hari amat bermakna dan membanggakan untuk Kumpulan yang membuka cawangan pertamanya di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 2055.
Kata beliau, Kumpulan tidak pernah menyangka dapat membuka 1,000 cawangan di seluruh negara, pada masa sama memenuhi janji Always Low Prices bagi jemana MR D.I.Y., MR. DOLLAR dan MR.TOY buat para pelanggannya.
“Pencapaian ini tidak mungkin dapat dikecapi tanpa dedikasi 13,000 kakitangan kami di seluruh negara, hubungan yang kukuh dengan semua rakan kongsi perniagaan kami, dan sokongan rakyat Malaysia yang tidak berbelah bagi, kami berjaya kerana anda,” katanya dalam kenyataan.
Pada tahun ini, peruncit terbabit menawarkan lebih 18,000 jenis produk di cawangan-cawangannya dan platform e-dagang.
Mengulas perancangan masa hadapan Kumpulan, Goh berkata, MR D.I.Y. tidak merancang untuk berhenti di sini kerana pencapaian tersebut menjadi inspirasi untuk terus berkembang dan menginovasi.
Malah katanya, Kumpulan akan terus memenuhi keperluan pelanggan dengan membawakan pelbagai produk yang relevan dan berguna dengan nilai yang hebat, menginovasi format kedai, dan membuka cawangan di lokasi-lokasi mudah dikunjungi.
“Kami juga komited untuk terus menggembirakan pelanggan dengan memperkenalkan pengalaman yang unik serta menawarkan pelbagai promosi dan menjalin usaha sama yang menarik. Akhir sekali, kami akan terus mendekati lebih ramai rakyat Malaysia, sesuai dengan perancangan kami untuk membuka 180 buah cawangan lagi pada 2022,” katanya. – UTUSAN











