Hukum bukan Muslim 'kutip' zakat - Utusan Malaysia

Hukum bukan Muslim ‘kutip’ zakat

shopee
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila beberapa institusi zakat di Malaysia melantik sebuah perantara e-dagang untuk mengutip zakat, maka banyak pihak tiba-tiba begitu sensitif. Antara hujah yang mereka gunakan, zakat adalah ibadah yang tidak sah dikutip oleh pihak bukan muslim.

Malah ada yang lebih keras mengecam tindakan tersebut dengan menganalogikannya sebagai ‘orang tengah’ yang mendapat keuntungan mudah atas urusan zakat.

Perkara pertama yang perlu diperbetulkan ialah penggunaan istilah. Sebenarnya wadah e-dagang itu tidak dilantik menjadi ejen sebagaimana ejen zakat muslim atau dilantik sebagai wakil institusi zakat, apa lagi dilantik menjadi amil.

Hakikatnya, ia hanya dilantik sebagai salah satu saluran menerima pembayaran zakat, itu sahaja. Malah mereka tidak dibenarkan membuat taksiran zakat, kerana ia bukanlah keahlian mereka. Tugasnya hanya satu, menjadi ‘saluran’.

Oleh itu, secara umumnya landasan pelaksanaan perkara ini ialah mengangkat konsep wasilah dan ujrah al-khadamat (saluran dan upah perkhidmatan), atau boleh juga wakalah dan ujrah (wakil dan upah). Lalu, apakah hukumnya memilih bukan muslim sebagai saluran atau wakil dan kemudiannya dibayar upah?

Jawapannya, harus. Untuk menyatakan ia tidak boleh atau haram, maka perlu kepada penjelasan dan bukti. Namun jika mereka dilantik sebagai amil, itu barulah jelas dilarang dalam Islam.

Imam An-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ menyatakan, adalah harus hukumnya dalam urusan zakat jika dilakukan secara mewakilkannya kepada pihak lain untuk ditunaikan.

Imam al-Baghawi berpandangan, dibolehkan melantik wakil dalam kalangan hamba ataupun orang kafir dalam urusan pengeluaran zakat sebagaimana diharuskan perwakilan kepada mereka dalam urusan sembelihan korban, (lihat kitab al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Kitab al-Zakah, Bab Qism al-Sadaqat 7/204).

 

BANK KOMERSIAL

Realitinya di Malaysia, sebelum ini pun ada banyak saluran pembayaran zakat dan memang ada yang melibatkan pihak bukan muslim. Namun pada ketika itu ia tidak jadi isu. Antara contoh saluran bayaran zakat sedia ada adalah bank-bank komersial, pihak pembekal perkhidmatan e-Wallet dan portal-portal pembayaran yang memang melibatkan muslim dan bukan muslim.

Hakikatnya, ibadah zakat tetap sah walaupun menggunakan ‘saluran pembayaran’ bukan muslim, selagi mana ia memenuhi dua rukun zakat. Pertama niat berzakat; kedua berlaku perpindahan harta dari muzakki (pembayar) kepada mustahiq (asnaf), yang dalam konteks ini ialah amil (institusi zakat). Wadah e-dagang itu bukan amil, ia hanya ‘tolong menyampaikan’ kepada amil atau ‘saluran’ semata-mata.

Simulasinya begini. Apabila Encik Ali pergi ke saluran e-dagang itu dan dia menekan butang ‘klik’ untuk membayar zakat, maka duit itu pun segera dikirim ke akaun ke pusat zakat berkaitan. Tidak timbul isu syarikat e-dagang itu akan memeram atau menyimpan terlebih dahulu duit itu. Pihak pengendali zakat sendiri maklum mengenai hal ini dan sudah menetapkan perkara berkenaan lebih awal semasa membuat kontrak dengan syarikat e-dagang terbabit.

Dalam Islam, realitinya penglibatan bukan muslim dalam sektor tertentu yang tidak bersifat pembuat dasar adalah diharuskan. Umar al-Khattab r.a pernah memarahi Gabenor Mesir, Amru al-Ash kerana melantik bukan muslim menguruskan hal kewangan negara Islam. Namun Amru al-Ash tetap meneruskan lantikan itu dan Umar al-Khattab r.a akhirnya diam sahaja.

Harus diingat, pengurusan kewangan negara Islam pada zaman Umar al-Khattab r.a itu memang melibatkan pengutipan zakat yang dominan, di samping kutipan cukai (jizyah, kharaj, usyur) dan harta rampasan perang (ghanimah dan fai’).

Apabila bukan muslim itu berada di dalam sistem kewangan negara, pastilah dia turut terlibat dan mengetahui tentang kutipan zakat. Umar al-Khattab r.a tidak membenarkan pelantikannya lantaran ia boleh mendedahkan rahsia negara Islam. Namun ternyata, ada sebab-sebab tertentu kenapa Amru al-Ash enggan memberhentikannya.

Dalam sejarah awal Islam juga, Nabi SAW turut menerima penggunaan dinar (mata wang emas) dan dirham (mata wang perak) sebagai medium pembayaran zakat. Padahal, dinar dan dirham itu datang dari bukan muslim iaitu kerajaan Rom dan Parsi.

Ini menjadi dalil dalam pelaksanaan zakat, ada perkara tertentu yang datang daripada bukan muslim boleh dimanfaatkan, khususnya jika melibatkan aspek kemudahan dalam pelaksanaan zakat.

Justeru, dalam pelaksanaan inovasi pengurusan zakat, banyak perkara yang datang daripada bukan muslim dapat dimanfaatkan demi kemudahan umat Islam.

Menyentuh isu upah syarikat e-dagang, jelas ia diambil daripada dana asnaf amil. Hakikatnya, amil berhak menggunakan duit miliknya mengikut kesesuaian. Samalah seperti asnaf fakir, miskin dan mualaf yang berhak menggunakan duit zakat yang diterima untuk apa sahaja tujuan yang baik di sisi mereka.

Contohnya, apabila pusat zakat membeli perisian SPSS untuk memudahkan kajian atau mengambil syarikat bukan muslim membuat sesuatu pekerjaan yang kemahiran itu dimiliki secara khusus oleh mereka, maka bayarannya tetap menggunakan asnaf amil.

Transaksi ini sama seperti kita menggunakan duit sendiri membeli roti di kedai bukan muslim atau membayar upah kepada bukan muslim. Kita tidak mengambil duit orang lain tetapi menggunakan duit kita sendiri.

Seperkara lagi yang perlu kita fahami tentang ibadah zakat adalah inovasi zakat sangat berkait rapat dengan perubahan zaman. Sebabnya, zakat adalah ibadah maliyah ijtimaiyah (kekayaan dan kemasyarakatan) yang mana kedua-dua elemen ini memang sentiasa berevolusi dari zaman ke zaman.

Umar al-Khattab r.a pernah mengenakan zakat ke atas harta yang jelas disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai harta tidak wajib zakat, iaitu kuda dan hamba sahaya. Namun beliau tetap mengenakan zakat ke atasnya, termasuklah zakat ke atas mutiara dari lautan, zakat atas tanaman seperti kapas dan sebagainya lagi. Ini kerana Umar al-Khattab r.a melihat ada asasnya, iaitu illah-nya (alasan) yang menjadi landasan dalam evolusi sesuatu hukum.

Kesimpulannya, kita mesti membezakan antara perkara dasar dan perkara cabang. Banyak inovasi zakat yang dilakukan sekarang adalah melibatkan perkara cabang yang membantu meningkatkan kutipan zakat.

Jika kita mengambil pendekatan terlalu syadid (keras dan jumud), maka zakat juga akan menjadi satu ibadah yang jumud dan tidak mampu berkembang. Sedangkan, harta dan segala yang berkaitan dengannya sentiasa berubah dari zaman ke zaman.

  • Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah, LZS. Sebahagian isi artikel disumbangkan oleh Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman, Ketua Unit Syariah, PPZ Wilayah Persekutuan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×