‘Dari beri nafas baharu, elok lagu sendiri’ - Utusan Malaysia

‘Dari beri nafas baharu, elok lagu sendiri’

Bagi Tam Spider, setiap penyanyi patut kreatif dalam menghasilkan karya sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Mereka tidak boleh buat lagu baharu ke untuk naik? Tidak yakin dengan lagu baharu?”

Ya itulah persoalan yang dilontarkan komposer dan vokalis kumpulan Spider, Tam Mustafah, apabila ditanyakan pendapatnya mengenai trend pemberian nafas baharu bagi lagu-lagu sedia ada.

Kata penyanyi lagu Relaku Pujuk itu, setiap penyanyi sepatutnya kreatif dalam menghasilkan karya sendiri.

Baginya pemberian nafas baharu kepada lagu lama, tidak harus jadi aliran.

“Kita perlu kreatif, biar seorang sahaja yang buat dan janganlah jadikan ia sebagai satu trend.

“Ia ada pro dan kontra, tetapi bagi saya daripada memberi nafas baharu lebih baik membuat lagu sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, Tam mendedahkan sejak dahulu lagi lagu-lagu hit kumpulan itu mula diminta untuk merakam bagi versi nyanyian penyanyi lain.

Namun sehingga kini dia enggan ‘melepaskan’ lagu-lagu Spider untuk diberi nafas baharu.

Pelakon filem Gosok The Movie itu bagaimanapun tidak menghalang mana-mana penyanyi untuk menyanyikan semula lagu-lagu sedia ada.

Tetapi beliau lebih senang melihat mereka kreatif dengan melahirkan karya dan mempertaruh sendiri lagu dihasilkan ke arena mainstream.

“Saya tidak halang, namun saya lagi suka melihat penyanyi yang membuat lagu baharu dan mempertaruhkan.

“Baik buat lagu sendiri, kosnya sama juga. Rugi dan menelan belanja yang banyak. Saya lagi suka bila mereka ada lagu sendiri,” katanya.

Setiap individu bergelar penyanyi seharusnya mempunyai ideologi sendiri dalam membawa nama mereka dalam industri seni tempatan.

“Cabaran dalam industri seni ini adalah kita perlu mencari sesuatu yang baharu untuk lakukan dan percaya apa yang kita lakukan. Namun itulah cabarannya.

“Bagi saya, setiap penyanyi perlu ada ideologi sendiri. Jika rasa menyanyikan lagu penyanyi lain dapat menaikkan namanya, teruskan,” ujarnya.

‘Kita rembat saja’
Sekadar informasi, tiga pemuzik tanah air dari tiga generasi berbeza disatukan di atas sebuah pentas menerusi konsert YOLO Live Sessions: 3 Generasi.

Konsert tersebut membariskan nama-nama besar industri muzik Malaysia seperti Noh Salleh, kumpulan Spider dan band bertaraf legenda, XPDC.

Bertempat di dewan konsert serba moden, Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang pada 27 Ogos 2022, konsert tersebut juga lebih memfokuskan untuk ‘kaki rock’ yang sudah lama mendambakan persembahan secara langsung dari artis serta kumpulan muzik kegemaran mereka.

Berbicara mengenai konsert berkenaan, Tam memaklumkan Spider tidak mengambil mana-mana penasihat bagi konsert itu.

“Untuk konsert ini saya tiada ambil sesiapa guru sebagai advisor kami, kita ‘rembat’ sahaja.

“Ini kerana, kami kumpulan berbeza dengan penyanyi solo. Band penuh dengan arrangement muzik,” kongsinya ringkas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×