PETALING JAYA: Malaysia dan Singapura bekerjasama untuk membina kapal bekalan luar pesisir (OSV) hijau pertama di negara ini.
Kerjasama itu antara tiga syarikat utama pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR) tempatan dan sebuah syarikat hijau inovatif Singapura.
Syarikat terbabit ialah Grade One Marine Shipyard (GOMS) Sdn. Bhd., Muhibbah Marine Engineering (MME) Sdn. Bhd. dan Shin Yang Shipyard (SYS) Sdn. Bhd. serta syarikat Singapura, Evolution Concepts (EC) Pte Ltd. Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) pula bertindak sebagai penyelaras kerjasama berkenaan.
Melalui perjanjian itu, empat syarikat tersebut bekerjasama dan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk membina OSV hijau pertama di Malaysia; di mana syarikat Malaysia akan menyediakan kemudahan limbungan dan pembinaan kapal yang menyeluruh, manakala syarikat Singapura (EC) mereka bentuk kapal berkenaan, menggabungkan teknologi hijau.
Projek itu menelan kos kira-kira AS$25 juta (RM113 juta) dan dijangka mengambil masa sekitar 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan, bermula dari fasa reka bentuk hingga pembinaan.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama itu diadakan di Kuala Lumpur semalam dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob.
Norazman berkata, projek itu bakal mentransformasikan industri perkapalan di seluruh dunia, selaras dengan piawaian global.
“Perubahan iklim dan kelestarian sedang pesat membentuk pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia. Kerajaan Malaysia sedar kepentingan tenaga hijau, pemuliharaan tenaga, perlindungan alam sekitar dan pembangunan lestari yang progresif, seperti yang terkandung dalam standard Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di bawah UNESCO.
“Inisiatif progresif ini juga selaras dengan aspirasi negara ke arah pelepasan gas rumah hijau (GHG) bersih sifar pada 2050 seperti yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
“Industri digalakkan untuk melaksanakan inisiatif pertumbuhan hijau dengan mengguna pakai teknologi hijau dan amalan terbaik. Ini akan memastikan pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG), meminimumkan pencemaran dan memastikan penggunaan sumber asli secara mampan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Presiden AMIM, Soo Jee Main berkata, pendekatan kelestarian kapal OSV akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai salah satu pemain utama SBSR global.
“Industri maritim dan SBSR Malaysia diiktiraf di peringkat global. Kita menduduki tempat ke-empat dalam 5 Ekonomi Teratas dengan Indeks Ketersambungan Perkapalan Liner (LSCI) Tertinggi 2021 mengikut UNCTAD (Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Negara Bersatu),” katanya.
Tambah beliau, Malaysia juga mempunyai pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Klang yang disenaraikan di antara 25 Pelabuhan Teratas di bawah Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena Markit IHS Bank Dunia 2020, masing-masing di tempat ke-13 dan 14.
“Ini menunjukkan bahawa kita mempunyai potensi pertumbuhan yang besar dan projek ini datang tepat pada masanya untuk kita bergerak pulih pasca pandemik,” katanya. – UTUSAN










