MERUPAKAN buah tangan terakhir pengarah muzik, Allahyarham Lok U, siapa sangka pada awalnya lagu Terakhir Buat Teman ini dicipta bagi mengenang dua orang sahabat pemuziknya yang meninggal dunia terlebih dulu.
Namun hanya beberapa bulan selepas kematian dua rakan baiknya, Lok U atau nama sebenarnya Faizal Uzir turut dijemput ilahi.
Melihat ini adalah hasrat terakhir, pengarah muzik terkenal ini, beberapa pihak tampil bekerjasama dalam menyempurnakan apa yang tertangguh.
Berkongsi pengalaman menyiapkan hasil terakhir rakan baiknya ini, Siti Sarah akui bukan sesuatu yang mudah dalam memastikan emosinya tidak mengganggu usahanya ini.
“Arwah adalah rakan baik saya, kalau ada apa-apa yang melibatkan nyanyian memang Lok U adalah orang yang akan membantu. Sebab itu kehilangannya bukan sesuatu yang mudah untuk saya terima. Menyanyikan lagu ini sahaja boleh mengundang sebak.
“Pada asalnya diciptakan oleh Lok U bersama rakannya, Aji sebagai tanda mengenang pemain bass, Allahyarham Kelly yang terlebih dulu pergi meninggalkan mereka. Tidak sempat lagu itu disiapkan, Aji pula menyusul mengikut Kelly bertemu Ilahi. Memang Lok U cuba sedaya upaya menyiapkan lagu tersebut tapi dia juga pulang ke negeri abadi pada 22 Januari lalu.
“Disebabkan itu, Indigital Music menjemput kami untuk menyiapkan lagu ini dan tidak mungkin kami tolak kerana ini bagaikan satu tanda buat rakan-rakan yang sudah tiada,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.
Tidak sekadar Siti Sarah dan Hazama, antara mereka yang turut menyumbang tenaga dalam memastikan lagu ini dapat diperdengarkan adalah pemuzik, Genervie Kam, pemain gitar, Emi juga protege kepada Allahyarham Aji dan beberapa lagi pemuzik yang cukup rapat dengan tiga figura ini. Selain itu pembabitan penulis lirik terkenal, Iman Imran turut memberi impak kepada lagu Terakhir Buat Teman.
Berkongsi bagaimana arwah Lok U seperti memberi tanda dia akan pergi selama-lamanya, jelas Hazama momen itu akan terus bermain di kotak fikirannya.
“Sewaktu bertemu dengan Lok U selepas pemergian Kelly dan Aji secara spontan dia memberitahu dia dapat rasa mungkin selepas ini adalah gilirannya pula. Masa itu saya beranggapan dia hanya bergurau tetapi tidak sangka pula.
“Ikut saya tahu lagu ini menerusi video arwah Lok U bermain piano yang di muat naik di Instagramnya, memang saya ada nyatakan hasrat untuk nyanyikan lagu ini kalau masih belum ada penyanyi. Tapi saya tak tahu pada masa sama, dia ada tawarkan pada Sarah juga. Jadi bila pihak Indigital menelefon dan menawarkan saya menyanyikan lagu tribute untuk sahabat-sahabat yang sudah pergi itu, terus saya bersetuju.
“Memang satu penghormatan saya dapat menyanyikan lagu ini. Jujurnya peluang untuk berkerjasama dengan Siti Sarah sebagai seorang penyanyi profesional juga turut memberi kelebihan.
Sementara itu Terakhir Buat Teman turut mendapat sokongan geran melalui Dana Kandungan Digital (DKD) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
Allahyarham Kelly atau nama sebenarnya, Wan Kelly Abdul Rahman menghembuskan nafas terakhir selepas mengadakan sesi latihan menjayakan pementasan Malam Kasih Amal di Ipoh, Perak pada 4 Mei tahun lalu, manakala Allahyarham Aji atau nama sebenarnya, Fauzi Samin, pemain gitar terkenal, meninggal dunia pada 5 September 2019 akibat serangan jantung.
Allahyarham Lok-U pula menyusul pada 22 Januari lalu.










