BAGAN DATUK – Umat Islam di negara ini yang berhasrat untuk mewakafkan sebarang hartanah diminta agar melakukan urusan dokumentasi mengikut perundangan Islam bagi mengelakkan sebarang pertikaian dan tuntutan daripada waris pada masa akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemilik tanah perlu mendaftarkan hartanah mereka dengan Kanun Tanah Negara, Baitulmal dan Undang-Undang Agama Islam di setiap negeri agar masalah tersebut tidak berlaku di kemudian hari.
Jelasnya, perkara yang melibatkan aspek perundangan tidak boleh dilakukan dengan hanya niat sahaja sebaliknya ia perlu didokumentasikan.
“Dari aspek nasional, saya mahu melihat masalah tanah wakaf ini diselesaikan secara holistik.
“Apa yang perlu, semua umat Islam perlu menerima manfaat daripada penyelesaian masalah daripada hal-ehwal wakaf di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis minum petang bersama masyarakat setempat bersama 200 kariah Masjid Ubudiah, Parit 19 di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, aspek wakaf juga mampu menyebabkan pertikaian dan tuntutan waris yang melibatkan nilai yang tinggi sekali gus menyukarkan pembangunan tanah wakaf di seluruh negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sewaktu memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2009, nilai tanah wakaf di negara ini ketika itu dianggarkan sebanyak RM9 bilion mengikut nilai pasaran.
“Pada tahun 2018, nilai tersebut telah meningkat sebanyak 30 hingga 50 peratus.
“Nilai tanah wakaf sebanyak RM9 bilion itu jika tidak dibangunkan ia akan menjadi tanah yang terbiar sekali gus merugikan umat Islam di negara ini,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid hadir meluangkan masa beramah mesra bersama 127 murid Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Ridzuan, Parit 19 di sini.
Ahmad Zahid dalam lawatannya tiba di sekolah tersebut pada pukul 6.15 petang sebelum bersalaman dan bergambar dengan murid-murid di sekolah tersebut.
Beliau juga berkesempatan melawat dan melihat keadaan bilik darjah enam buah kelas yang digunakan oleh murid-murid di sekolah berkenaan. – K! ONLINE










