JOHOR BAHRU 14 Feb. – Seramai 20 rakyat Filipina termasuk lapan wanita mengaku bersalah atas tuduhan memiliki kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain di dua mahkamah berasingan, di sini hari ini.
Di Mahkamah Sesyen, dua lelaki dan empat wanita membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azureen Shahira Sauffee Affandi.
Empat daripada mereka didakwa menggunakan kad pengenalan palsu atas nama orang lain dan dua lagi menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri mereka.
Azureen Shahira kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau tiga bulan penjara ke atas dua daripada mereka, manakala empat lagi dihukum penjara dua bulan dari tarikh mereka ditahan, kelmarin.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, empat wanita dan 10 lelaki dihukum penjara 10 bulan selepas mereka mengaku bersalah atas tuduhan serupa yang dibacakan di hadapan Majistret, Noor Aisyah Ahmad.
Tiga daripadanya didakwa menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri, manakala 10 lagi didakwa menggunakan kad pengenalan palsu atas nama orang lain dan seorang lagi menggunakan kad pengenalan pemastautin tetap palsu atas nama orang lain. – UTUSAN ONLINE










