Terowong dasar laut: 2 Exco Pulau Pinang dipanggil SPRM - Utusan Malaysia

Terowong dasar laut: 2 Exco Pulau Pinang dipanggil SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 14 Feb. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengakui telah memanggil dua orang Exco Kerajaan negeri Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung isu projek terowong dasar laut di negeri itu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad ketika mengesahkan perkara itu berkata, kedua-dua Exco berkenaan masing-masing dipanggil semalam dan pagi ini bagi membantu siasatan.

Beliau turut mengesahkan untuk setakat ini, pihaknya telah memanggil dua individu berkenaan untuk siasatan.

Dzulkifli bagaimanapun tidak menjelaskan berapa lama siasatan tersebut dilakukan.

“Kita nak jelaskan yang kita telah panggil dua orang saksi semalam dan hari ini. Mereka adalah Exco (Kerajaan negeri Pulau Pinang).

“Saya nak seru kepada semua pihak agar berilah peluang kepada SPRM lakukan siasatan dan kami bertindak dengan profesional. Apabila kita panggil untuk bantu siasatan, maka kena fahamlah. Apabila kita panggil mana-mana saksi kerana kita ada asas supaya mereka dapat bantu kita,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman serta Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan majlis itu disertai sebanyak 72 pelbagai agensi kerajaan dan GLC di negeri ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×