TAMPIN – Seorang pelajar perempuan tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abd. Rahman, Gemas dekat sini maut akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput sewaktu sedang menjalani latihan kawad di padang sekolah itu semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, kepala mangsa, Nur Afini Roslan, 14, terbelah dua, manakala seorang lagi pelajar sekolah itu, Mohd. Farhan Reza Badrol Hesam, 13, mengalami kecederaan pada belakang kepala.
Nur Afini merupakan cucu saudara bekas atlet negara, Datuk Rabuan Pit.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab. Razak berkata, siasatan awal polis mendapati bilah mesin rumput itu tercabut daripada traktor itu yang digunakan untuk kerja-kerja memesin rumput di padang berkenaan.
“Bilah mesin rumput itu kemudian melantun ke arah kepala kedua-dua mangsa yang berada di padang tersebut.
“Kita menahan pemandu traktor tersebut yang berusia 26 tahun bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.










