TAMPIN 13 Feb. – Pelajar perempuan tingkatan dua yang maut akibat terkena bilah pisau mesin rumput di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas dekat sini baru berpindah ke sekolah itu awal tahun ini.
![]() |
|
NORRIZAH SAMAD
|
Ibu saudaranya, Norrizah Samad, 53, berkata, mangsa, Nur Afini Roslan, 14, sebelum ini bersekolah di SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad di Kuantan, Pahang sebelum keluarganya berpindah ke Felda Sungai Kelamah, Gemas di sini bulan lalu.
“Dia yang juga anak keempat daripada lima beradik merupakan atlet memanah dan saya diberitahu dia pernah mewakili sekolah serta negeri di Pahang.
“Bapanya sebelum ini bekerja dengan sebuah syarikat telekomunikasi di Kuantan. Dia membawa isteri dan anak-anaknya pindah ke rumah arwah bapa kami di Felda ini selepas bersara baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di Felda Sungai Kelamah Gemas dekat sini.
Norrizah yang juga seorang Guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah kebangsaan di Gemas berkata, Nur Afini seorang yang baik, periang dan ramah malah sangat rapat dengan adik-beradiknya.
Sementara itu, seorang ibu saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila menerima berita kematian anak saudaranya daripada ibu bapa pelajar lain.
“Kali terakhir kami bertemu ialah semasa saya melawat seorang ahli keluarga yang sakit di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban Disember lalu,” katanya.
Dalam pada itu, adik mangsa, Muhammad Addim Roslan, 10, berkata, dia berasa sangat sedih dengan kehilangan kakaknya yang disifatkan sangat rapat dengannya dan sentiasa membantunya melakukan kerja-kerja sekolah.
“Kalau di rumah, kakak yang selalu ajar buat kerja sekolah. Kadang-kadang kami gaduh sebab kakak marah kalau saya nakal,” katanya.










