KUALA LUMPUR 13 Feb. – DewaN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta supaya menebang beberapa pokok mati dan berusia di bawah seliaannya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Penduduk mendakwa kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menjaga dan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bukan sahaja mengundang bahaya, tetapi juga menyebabkan kehilangan harta benda.
Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Semerah Padi, Cheras dan hadapan Perumahan Cheras Ria mendapati sebahagian dahan pokok berusia sudah lentur dan mencecah bahagian tepi jalan kerana sudah panjang dan berat.
Berdasarkan pemerhatian laluan sepanjang jalan di situ juga ditutupi dahan dan ranting pokok. Walaupun bersaiz kecil, tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Penduduk mendakwa, kebimbangan mereka semakin dirasai ketika musim hujan dan angin kencang kerana ia boleh menyebabkan dahan pokok patah dan menghempap pejalan kaki dan kenderaan.
Beberapa gerai yang beroperasi di tepi jalan turut rosak termasuk bumbung yang terpaksa ditukar beberapa kali.
Selain itu, ibu bapa turut melahirkan rasa bimbang dengan keselamatan anak-anak memandangkan jalan itu merupakan tempat kanak-kanak menunggu van untuk pergi dan balik dari sekolah.
Sehubungan itu DBKL diminta lebih peka serta mengambi langkah awal bagi menangani masalah ini.










