MELETAKKAN objektif untuk mengekalkan gaya hidup sihat selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan peserta cabaran Jom Kurus 1 Malaysia (JK1M), sebuah Pertandingan Dodgeball Bersama Selebriti dan Media telah diadakan baru-baru ini.
Berlangsung di Extreme Park Sunway South Quay, Subang Jaya, Selangor dengan menghimpunkan lebih 100 orang peserta termasuk selebriti dan pengamal media, pengasasnya, Kevin Zahari menegaskan, program berkenaan dianjurkan bagi membuka peluang kepada peserta yang berjaya menurunkan berat badan dalam cabaran JK1M untuk bersantai dengan selebriti dan media.
“Ini merupakan tahun kedua JK1M menganjurkan pertandingan dodgeball antara selebriti dan media. Alhamdulillah sepanjang penganjurannya, ia mendapat maklum balas yang bagus.
“Pertandingan ini diadakan secara santai tetapi dalam masa ia menjadi platform untuk para selebriti, media dan peserta JK1M beramah mesra dan menjalin hubungan baik di samping melakukan aktiviti sihat,” katanya.
Selepas kali pertama diadakan pada tahun lepas, Pertandingan Dodgeball Bersama Selebriti dan Media kini menjadi merupakan acara wajib setiap tahun untuk peserta JK1M.
Antara selebriti yang terlibat dalam pertandingan tersebut termasuklah, Scha Al-Yahya, Salina Saibi, Azrinaz Mazhar Hakim, Sheera Iskandar, Mark O’Dea, Sean Lee, Liza Hanim, Aishah Sinclair, Tania Hudson, Hasnida Hanim, Taufiq HanafI, Neera Azizi dan Nana Al Haleq.
Sementara itu, pengamal media yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut adalah wakil daripada Utusan Malaysia, TV3 serta beberapa blogger terpilih.
Pada acara tersebut, kumpulan yang diketuai Aishah Sinclair menjuarai pertandingan, manakala kumpulan Scha Al-Yahya pula dinobatkan selaku naib juara daripada 15 buah kumpulan yang bertanding.
Meluahkan pandangannya, pelakon Scha Al-Yahya sempat menyuarakan rasa bangga dan teruja kerana berpeluang terlibat dalam pertandingan tersebut buat kali kedua selepas pernah menyertainya pada tahun lepas.
“Meluangkan waktu hujung minggu dengan bermain dodgeball dan beramah mesra dengan peserta JK1M serta pemain kebangsaan dodgeball adalah suatu aktiviti yang sangat membanggakan.
“Saya sangat menikmati aktiviti ini kerana ia memupuk daya saing dalam kalangan peserta. Kalah atau menang, belakang kira, apa yang penting, setiap orang perlu memberikan yang terbaik.
“Terima kasih Kevin Zahari atas peluang ini,” jelas Scha.










