Nanoselulosa mesra alam, boleh diperbaharui - Utusan Malaysia

Nanoselulosa mesra alam, boleh diperbaharui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia merupakan salah satu negara pengeluar utama minyak sawit dunia.

Dua tahun lalu, keluasan kawasan penanaman pokok kelapa sawit di Malaysia dicatatkan seluas 5.7 juta hektar.

Daripada jumlah penanaman pokok kelapa sawit itu, berjuta-juta meter padu biomas sawit boleh dihasilkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Biomas sawit terdiri daripada batang pokok, pelepah dan batang kelapa sawit yang boleh menjadi sumber alternatif untuk penghasilan produk-produk lain.

Kelebihan yang ada pada biomas sawit ini telah mendorong sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menghasilkan nanoselulosa daripada biomas sawit.

Nanoselulosa secara amnya digunakan sebagai bahan yang berfungsi untuk meningkatkan ciri ketahanan sesuatu produk.

Ketua Penyelidik, Prof. Madya. Dr. Hidayah Ariffin berkata, nanoselulosa boleh dihasilkan daripada bahan-bahan berasaskan selulosa seperti biomas tumbuhan serta kapas.

Menurutnya, memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pokok kelapa sawit dan banyak biomas yang terhasil daripada tumbuhan itu yang boleh ditemui di pusat-pusat pemprosesan minyak kelapa sawit maka ia berpotensi untuk menghasilkan nanoselulosa.

“Nanoselulosa adalah bahan yang versatil ataupun serba boleh, sekali gus boleh dihasilkan sesuai dengan aplikasinya.

“Ia secara semula jadi memiliki sifat yang istimewa iaitu kuat dari segi mekanikal, mempunyai luas permukaan spesifik yang tinggi, boleh diperbaharui serta mampu untuk terurai secara biodegrasi,” jelasnya.

Sifatnya yang istimewa itu menjadikan nanoselulosa bahan yang sangat sesuai untuk diaplikasikan dalam pelbagai produk seperti produk biokomposit dan bahan pembungkusan yang berfungsi sebagai bahan penguat.

Nanoselulosa merupakan bahan berselulosa dalam skala nano iaitu 100 nanometer (nm) atau kurang, sama ada dari segi diameter atau panjang.

Pada masa ini, teknologi nano merupakan antara teknologi terbaru dan maju secara global.

Menyedari peranan teknologi nano dan potensinya yang membawa manfaat kepada manusia, Hidayah bersama penyelidik yang lain telah membangunkan produk nanoselulosa daripada biomas sawit.

Produk termaju

Penyelidikan itu bermula sejak lima tahun lalu. Selain Hidayah, penyelidik lain yang terlibat dalam kajian tersebut ialah Prof. Dr. Mohd. Ali Hassan, Mohd. Nor Faiz Norrrahim, Tengku Arisyah Tengku Yasim Anuar, Liana Noor Megashah serta dua penyelidik dari Jepun iaitu Prof. Dr. Yoshihito Shirai dan Prof. Dr. Haruo Nishida.

Di Malaysia, nanoselulosa mula diterima dan mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Baru-baru ini, ia disenaraikan sebagai produk termaju yang menjadi fokus dalam Rancangan Malaysia ke-11.

Hidayah menjelaskan, nanoselulosa mempunyai beberapa fungsi antaranya sebagai bahan penguat dalam produk plastik biokomposit.

“Penambahan nanoselulosa dalam amaun yang kecil akan meningkatkan kekuatan produk secara ketara.

“Contohnya, dalam kajian yang dilakukan, hanya tiga peratus nanoselulosa dalam biokomposit telah meningkatkan kekuatan ketegangan sebanyak 55 peratus dan kekuatan lenturan sebanyak hampir 200 peratus,” katanya.

Selain itu, ia juga bertindak sebagai bahan untuk membran penapis. Membran penapis yang diperbuat daripada nanoselulosa boleh digunakan untuk penapisan air atau topeng perlindungan muka.

Pada masa sama, nanoselulosa boleh menjadi bahan pemekat rendah kalori dalam produk makanan.

Komersialkan

Ini kerana ia berkait rapat dengan sifar nanoselulosa yang mempunyai luas permukaan spesifik yang besar dan menyebabkan ia lebih efisien dalam mengikat molekul air dan mengembang berbanding selulosa.

Ini menyebabkan struktur yang terhasil adalah seperti gel walaupun pada kepekatan nanoselulosa yang rendah dalam air dan ia sesuai menjadi bahan pemekat dalam produk makanan.

Sementara itu, Hidayah menjelaskan, untuk menghasilkan nanoselulosa, bahan mentah yang diperlukan hanyalah selulosa.

“Kami menggunakan selulosa yang diekstrak daripada biomas sawit.

“Selulosa ini kemudiannya digunakan untuk menghasilkan nanoselulosa melalui kaedah pengisaran. Melalui kaedah itu, kami berjaya menghasilkan nanoselulosa yang mempunyai saiz diameter purata 20 hingga 100nm,” katanya.

Nanoselulosa di negara ini masih lagi di peringkat penyelidikan dan pembangunan dan setakat ini masih belum ada pengeluar lain di Malaysia.

Namun, mereka melihat ia sebagai satu peluang dan kelebihan kerana produk yang dihasilkan itu sedia untuk dikomersialkan.

Produk tersebut kini sedang memasuki fasa pengkomersialan dengan inisiatif daripada pihak Putra Science Park, UPM di bawah program Innohub.

Antara kelebihannya ialah ia mempunyai ciri yang setanding dengan nanoselulosa yang dihasilkan di negara maju.

Selain itu, ia dihasilkan daripada biomas sawit yang merupakan biosumber sedia ada di Malaysia. Ia juga dihasilkan tanpa menggunakan bahan kimia.

Dalam pada itu, Mohd. Ali menjelaskan, mereka amat menitikberatkan konsep 3P iaitu profit, people dan planet dalam pembangunan produk baharu.

Dia percaya bahawa penghasilan nanoselulosa memenuhi konsep 3P.

“Dari segi ekonomi iaitu profit, penghasilan produk baharu daripada biomas sawit dijangka akan menyumbang kepada pembangunan perniagaan baharu yang menghasilkan produk bernilai tinggi dan kedua, pasaran biomas akan berkembang dengan penjualannya kepada industri nanoselulosa.

“Nanoselulosa dilihat dapat menyumbang kepada bioekonomi Malaysia kerana potensi pasarannya yang luas,” katanya.

Selain itu, ia juga dijangka dapat menyumbang kepada pembangunan sosial atau masyakarat. Pembukaan industri baru yang berkaitan nanoselulosa akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Pembangunan secara mampan merupakan satu kriteria penting dalam membangunkan industri baharu.

“Teknologi kami tidak menggunakan bahan kimia berbahaya.

“Oleh itu produk nanoselulosa ini boleh diklasifikasikan sebagai produk mesra alam kerana ia dihasilkan daripada bahan semula jadi dan boleh diperbaharui,” kata Mohd. Ali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×