SEBERANG PERAI – Polis mengesahkan siasatan kes seorang pembantu rumah warga Indonesia yang mati dipercayai selepas dera majikannya petang kelmarin di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam akan lengkap dalam masa terdekat.
Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, setakat ini tidak ada tangkapan baharu dan siasatan dijangka akan siap sepenuhnya selepas tempoh reman ibu kepada dua suspek tamat pada Isnin ini.
“Polis juga sedang menunggu laporan penuh bedah siasat daripada hospital kerana ia akan membantu memberikan petunjuk apa sebenarnya yang berlaku.
“Siasatan rapi juga telah dilakukan menerusi keterangan yang telah dirakam daripada suspek berusia 36 dan 39 tahun termasuk ibu mereka yang berusia 60 tahun,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Op Selamat 12/2018 Sempena Tahun Baru Cina di sini tadi. – K! ONLINE











