KUCHING 13 Feb. – Persatuan mualaf, Urusetia Saudara Kita Sarawak (USK) menerima geran lebih RM250,000 untuk membantu dan melaksanakan aktiviti dakwah dalam kalangan ahli-ahlinya di negeri ini.
Geran tersebut disampaikan oleh isteri Ketua Menteri merangkap Yang DiPertua Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI), Datin Patinggi Juma’ani Tun Tuanku Bujang semasa Majlis Penangguhan Pemukiman dan Kepimpinan Dayak Muslim Kebangsaan serta Penyerahan Geran USK di sebuah hotel di sini hari ini.
Pada majlis sama, Persatuan Dayak Muslim Kebangsaan turut menerima sumbangan RM30,000 untuk membantu kerja-kerja dakwah dalam kalangan mualaf di negeri ini.
Selain itu, Juma’ani turut menyampaikan Anugerah Ikon Daie Saudara Kita sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada para aktivis yang banyak menyumbang kepada kerja dakwah.
Dipilih menerima anugerah itu ialah Ustaz Mohd Sharif Robin Abdullah, Ustaz Yaakub Abdullah, Ustaz Nizam Abdullah, Idris Ahmad dan Siti Nursiah Abdullah.
Kesemua mereka masing-masing menerima plak dan sijil penghargaan, hadiah iringan serta wang tunai RM1,000.
Anugerah Utama Ikon Daie Saidina Abu Bakar As-Siddiq pula dianugerahkan krpada Ustaz Mohd. Chathazman Abdullah, 55.
Beliau yang berketurunan Iban telah memeluk Islam pada 24 November 1983, berasal dari Kapit dan bertugas sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Kuching.
Turut mendapat anugerah ialah Timbalan Yang DiPertua SABATI, Datuk Dayang Morliah Awang Daud; Mufti Sarawak, Datuk Kipli Yassin; Yang DiPertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha; Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie dan Pemangku Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Khalidi Ibrahim.










