KUALA LUMPUR 13 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Ahli Parlimen Paya Besar, Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail yang meninggal dunia, malam tadi.
UMNO telah kehilangan seorang ahli Parlimen yang amat berdedikasi dan sentiasa gigih berkhidmat untuk rakyat. Takziah kepada keluarga, moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah.
— Mohd Najib Tun Razak (@NajibRazak) February 12, 2018
Beliau berkata, Allahyarham sangat rapat dengannya dan pernah berkhidmat bersama-sama di Kementerian Belia dan Sukan.
Perdana Menteri turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang Ahli Parlimen yang amat berdedikasi dan sentiasa gigih berkhidmat untuk rakyat.
“Innalillah. Dukacita terima berita Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail telah kembali ke rahmatullah. Beliau sangat rapat dengan saya dan pernah berkhidmat bersama-sama saya di Kementerian Belia dan Sukan.
“UMNO telah kehilangan seorang Ahli Parlimen yang amat berdedikasi dan sentiasa gigih berkhidmat untuk rakyat. Takziah kepada keluarga, moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah!” katanya menerusi laman Twitter, di sini malam tadi.
![]() |
|
|
Abdul Manan meninggal dunia di Taman Melawati, Kuala Lumpur kira-kira jam 6.45 petang semalam.
Adiknya, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang berkata, abangnya yang berusia 69 tahun itu terjatuh di bilik air dipercayai mengalami serangan sakit jantung.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Abdul Manan yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar menang dengan majoriti 7,715 undi.
Beliau menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Murnie Hidayah Anuar dan calon Bebas, Zahari Mamat. – UTUSAN ONLINE











